Jumaat, 17 Jun 2022 | 11:45pm
Qari dari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah dari Selangor, Sofizah Mousin dinobat sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar di sini, malam tadi. - Foto BERNAMA
Qari dari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah dari Selangor, Sofizah Mousin dinobat sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar di sini, malam tadi. - Foto BERNAMA

Aiman Ridhwan, Sofizah johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan

JOHOR BAHRU: Qari dari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah dari Selangor, Sofizah Mousin dinobat sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar di sini, malam tadi.

Dengan keputusan itu, mereka layak membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, selain piala iringan dan tambahan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan haji.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan mereka mewakili Malaysia bagi menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) di ibu negara pada 17 hingga 22 Oktober depan.

Tempat kedua pula dimenangi qari dari Pulau Pinang, Muhammad Umar Syazuli Mohd Tahir dan qariah dari Melaka, Sarrul-Munirah Haris.

Mereka membawa pulang hadiah RM10,000 dan tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji, selain cenderamata dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga dimenangi qari dari Melaka, Azraie Abdul Hak dan qariah dari Perak, Nurul Syafiqah Nardi.

Bagi kategori hafazan, peserta dari Kelantan, Abdullah Ulwan Ismail diumumkan johan hafiz bagi kategori 1 hingga 30 juzuk berserta tafsir, manakala peserta Johor, Nurjahidah Hadirah Alliar@Ilyas dinobatkan johan hafizah.

Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000, selain tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji dan piala iringan.

Bagi kategori 1 hingga 20 juzuk, hafiz dari Johor, Ahmad Ikmal Mohd Ridhuan dan hafizah dari Kedah, Nurul Husna Abdul Aziz masing-masing dinobat johan.

Kategori 1 hingga 10 juzuk berserta tarannum pula diungguli hafiz Muhammad Jibril Mohd Hanafiah dari Pahang dan hafizah Fatimah Azzahra Mohd Shahrol dari Johor.

Terdahulu Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam berkenan menyempurnakan Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah yang turut menyaksikan Johor muncul sebagai juara keseluruhan.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 12 Jun lalu dan berlangsung enam hari dengan penyertaan 110 peserta tilawah dan hafazan mewakili 14 negeri.

Semua peserta diadili 12 hakim tilawah dan 14 hakim hafazan. - BERNAMA

Berita Harian X