Jumaat, 17 Jun 2022 | 8:52pm
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali berdepan dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali berdepan dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Tuduhan kait Rina Harun subahat lindungi Rumah Bonda tak berasas

KUALA LUMPUR: Tuduhan mengaitkan Datuk Seri Rina Harun sebagai bersubahat melindungi Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda (Rumah Bonda) yang dikaitkan dengan kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down dikenali Bella, disifatkan sebagai tidak berasas.

Ini kerana, segala tindakan diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkaitan kes itu adalah berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Justeru, Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat (KPWKM) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sesuai terhadap individu yang bertanggungjawab di sebalik dakwaan terbabit.

Mengulas lanjut, Unit Komunikasi Korporat KPWKM memaklumkan tindakan penguatkuasaan oleh JKM ke atas Rumah Bonda sudah dimulakan sejak Julai 2021.

Berdasarkan siasatan, katanya didapati Rumah Bonda adalah premis tidak berdaftar dengan JKM di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506] yang menjadi satu kesalahan di bawah akta sama.

"Susulan itu, tindakan lak (seal) terhadap premis berkenaan diambil pada 12 Julai 2021 selaras Seksyen 16A Akta 506.

"Kertas Siasatan juga dibuka dan tindakan kompaun diambil selaras Seksyen 21A Akta 506 dan Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan (Pengkompaunan Kesalahan) 2011 serta dibuat dengan keizinan Pendakwa Raya berdasarkan fakta kes yang jelas .

"Amaun kompaun RM5,000 yang dikenakan terhadap pengendali Rumah Bonda adalah amaun kompaun maksimum yang boleh dikenakan di bawah Akta 506," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu merujuk satu hantaran dalam Instagram pada 12 Jun lalu, yang mempertikaikan tindakan penguatkuasaan ke atas Rumah Bonda, selain menuduh Rina selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersubahat melindungi Rumah Bonda.

KPWKM berkata, tindakan mengeluarkan kenyataan berunsurkan fitnah dengan tujuan menjatuhkan reputasi dan menangguk di air keruh adalah tidak wajar pada waktu perbicaraan kes Bella masih berjalan di mahkamah.

Justeru, katanya Perbincangan lanjut bersama pihak Jabatan Peguam Negara akan dilaksanakan dan laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan dibuat bagi memastikan tuduhan seperti ini tidak berulang lagi.

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X