Jumaat, 17 Jun 2022 | 4:36pm

Kes COVID-19 akan terus ada dalam masyarakat - Pakar

PUTRAJAYA: Kes jangkitan COVID-19 negara yang masih kekal pada paras empat angka adalah sesuatu yang normal apabila wabak kini mulai beralih ke fasa endemik.

Pakar Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun, berkata seperti jangkitan H1N1 dan denggi, kes COVID-19 juga tidak akan menjadi sifar manakala angkanya akan berubah-ubah mengikut keadaan semasa.

Beliau berkata, masyarakat juga perlu memahami COVID-19 akan terus wujud dalam kalangan manusia dan akan tersebar.

Katanya, ia adalah perkara yang sudah dijangkakan berlaku iaitu sifat virus yang akan tersebar dan sikap manusia yang boleh alpa terhadap amalan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Sepatutnya dalam keadaan endemik, kita sudah tidak lagi mengawasi angka jangkitan. Ia sewajarnya diawasi di peringkat Kementerian Kesihatan (KKM) dan maklumat secara bulanan sahaja yang dikeluarkan.

"Ia seperti yang dijangkakan apabila pelbagai kelonggaran diberikan kerajaan termasuk sudah bebas ke sana sini menyertai pelbagai aktiviti yang membabitkan khalayak ramai seperti konsert," katanya kepada BH.

Dr Hanafiah Bashirun. - NSTP/ARKIB
Dr Hanafiah Bashirun. - NSTP/ARKIB

Dr Hanafiah berkata, apa yang penting diberi perhatian ialah biarpun dalam keadaan tiada lagi halangan dan sekatan seperti dahulu, angka jangkitan masih berada pada paras empat angka terendah berbanding sehingga mencecah 30,000 kes ketika pelaksanaan sekatan terhadap penduduk.

Selain itu, katanya, kemasukan ke wad termasuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kematian akibat COVID-19 juga pada paras rendah ketika ini berbanding sebelum ini.

Katanya, masih ada kes jangkitan baharu, namun ia tidak begitu berbahaya berbanding ketika penularan varian Alpha, Beta dan Delta.

"Kita harap ia kekal lemah. Penularan ini dijangkakan apabila orang ramai sudah boleh berkumpul, terutama pada musim perayaan.

"Kes dijangka meningkat menjelang perayaan Aidiladha tidak lama lagi tetapi angka jangkitan akan menurun selepas musim perayaan sebelum meningkat semula pada musim perayaan seterusnya.

"Jika dulu apabila membaca hantaran di media sosial banyak menceritakan kes kematian akibat COVID-19 tetapi kini kes kematian akibat kemalangan yang kembali dihebahkan," katanya.

Laman sesawang COVIDNOW kendalian KKM melaporkan sebanyak 2,033 kes positif baharu COVID-19 direkodkan setakat tengah malam tadi dengan kesemuanya adalah penularan tempatan.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes aktif ketika ini sebanyak 24,577 kes dengan 23,573 menjalani kuarantin di rumah, seramai 959 pesakit dirawat di hospital dan 13 individu dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Turut dilaporkan, lima kematian dengan tiga daripadanya membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan.

Sementara itu, Saintis Virologi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Muhammad Amir Yunus, berpendapat situasi itu sememangnya dijangkakan apabila negara memasuki fasa endemik.

Beliau berkata, kebiasaannya dalam fasa berkenaan, khususnya bagi COVID-19 iaitu penyakit yang wajib dilaporkan, dijangkakan bilangan kes akan berada dalam julat tertentu dan dalam jangka yang agak berlarutan.

"Ini juga berikutan kelonggaran SOP dan pembukaan pintu sempadan. Negara-negara lain juga saya rasa mengalami situasi sama.

"Di Amerika Syarikat (AS) misalnya, kes harian masih dicatatkan, namun pada kadar yang lebih rendah berbanding waktu pandemik," katanya.

Ditanya sama ada jangkitan COVID-19 boleh meningkat kembali ke lima angka seperti di sesetengah negara, Dr Muhammad Amir mengakui ia tidak mustahil berlaku jika membabitkan virus yang berbeza secara signifikan daripada varian yang ada ketika ini, terutama jika ia mempunyai sifat yang lebih mudah berjangkit atau lebih berbahaya.

Namun, beliau berkata, perhatian perlu diambil terhadap jangka pandemik/endemik yang agak lama berlangsung, yang membawa maksud secara kumulatif, lebih ramai populasi yang mungkin sudah terdedah kepada virus daripada pelbagai varian berlainan.

Oleh itu, katanya, imuniti semula jadi mungkin sudah terbentuk.

"Dengan ini secara perlahan-lahan kita mungkin melihat penurunan kes seterusnya pada masa yang akan datang dan pada jangka agak panjang," katanya.

Berita Harian X