Jumaat, 17 Jun 2022 | 2:44pm
T Yishal
T Yishal

Pelajar UMS terima Anugerah Pelajar Perakaunan Terbaik MIA 2021

KOTA KINABALU: Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS) antara 17 pelajar dari seluruh negara menerima Anugerah Pelajar Perakaunan Terbaik 2021 daripada Institut Akauntan Malaysia (MIA).

T Yishal, menerima anugerah di peringkat kebangsaan itu sempena Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA (MIAC) 2022 yang dianjurkan secara dalam talian, baru-baru ini.

Yishal berkata, dia teruja dan bersyukur atas anugerah yang diterimanya kerana ia menjadi detik paling membanggakan dalam perjalanan pengajiannya.

Katanya, dia percaya anugerah itu akan dapat memberi lebih banyak ruang dan peluang untuknya di alam pekerjaan kelak.

"Saya juga bangga kerana dapat membawa nama UMS ke dalam dunia perakaunan di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa," katanya.

Yishal yang berasal dari Selangor kini sedang menjalani latihan praktikal di sebuah firma audit antarabangsa KPMG di Petaling Jaya.

Beliau berharap, supaya lebih ramai pelajar akan cuba mempraktikkan keseimbangan dalam bidang akademik serta kokurikulum.

Katanya, ini kerana pencapaian akademik semata-mata sukar untuk pergi lebih jauh dan baginya yang lebih penting adalah kebolehan berkomunikasi yang ditimba daripada pembabitan dalam kokurikulum dan kesukarelawan.

Sementara itu, UMS dalam kenyataan menjelaskan anugerah berkenaan diberikan kepada pelajar terbaik bagi universiti tempatan yang diiktiraf di bawah Akta Akauntan 1967, sekali gus mengharumkan nama UMS di peringkat kebangsaan.

Katanya, anugerah itu menitikberatkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum pelajar sepanjang pengajian di universiti tempatan.

"Selain pengiktirafan di bawah Akta Akauntan 1967, program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian UMS juga diiktiraf oleh beberapa badan perakaunan profesional termasuk Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).

"Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Chartered Institute of Management Accounts (CIMA)," katanya.

Berita Harian X