Jumaat, 17 Jun 2022 | 2:02pm
Mas Ermieyati (tengah) menerima memorandum daripada Majlis Peguam. - NSTP/Aswadi Alias
Mas Ermieyati (tengah) menerima memorandum daripada Majlis Peguam. - NSTP/Aswadi Alias

Majlis Peguam serah memorandum pada Mas Ermieyati

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, di Padang Merbok di sini, hari ini.

Ia susulan kegagalan polis yang tidak membenarkan peserta Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman berarak ke padang Parlimen seperti dijadualkan sebelum ini.

Mas Ermieyati berkata, beliau hadir menerima memorandum itu daripada Majlis Peguam bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Terima kasih atas kerjasama dan maaf atas kesulitan dan kepayahan yang berlaku.

"Saya akan serahkan pada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Perdana Menteri. Semoga keadilan kehakiman terus ditegakkan," katanya selepas menerima memorandum berkenaan.

Terdahulu, lebih 500 peserta Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam berhimpun di Padang Merbok, sejak jam 9 pagi dan dijadualkan berarak ke Bangunan Parlimen pada jam 10 pagi.

Bagaimanapun, selepas lebih 30 minit pihak penganjur membuat rundingan bersama polis, mereka masih tidak dibenarkan lalu.

Sebahagian besar peserta berkenaan kemudian cuba menggunakan laluan lain untuk ke Bangunan Parlimen, namun masih dihalang polis sehingga menyebabkan berlaku provokasi antara peserta dengan polis.

Sebahagian peguam yang menyertai Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman di Padang Merbok. - NSTP/Aswadi Alias

Peserta perhimpunan kemudian kembali berhimpun di tapak letak kereta Padang Merbok selepas Unit Tempur Ringan (LSF) Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba.

Ketika berhimpun semula, peserta dilihat melaungkan perkataan 'bebas kehakiman' sambil terus memegang sepanduk ditulis 'Jom Jalan For Judicial Independence', 'Get Ready Walk Steady' dan Pertahan Kebebasan Kehakiman.

Difahamkan, perarakan itu bertujuan menyuarakan rasa tidak puas hati mereka berhubung intimidasi terhadap badan kehakiman.

Peguam mengundi ketika mesyuarat agung luar biasa menyokong resolusi Badan Peguam yang mengecam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Nazlan Mohd Ghazali.

Turut dilihat hadir pada perhimpunan itu, Pengerusi Jawatankuasa Majlis Peguam, Roger Chan; bekas Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan dan Ahli Parlimen Sungai Buloh, K Sivarasa.

Peserta kemudian dilihat bersurai kira-kira jam 11.30 pagi.

Berita Harian X