Jumaat, 17 Jun 2022 | 1:45pm

'Muhyiddin terima RM1.3 juta daripada UKSB'

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pada 2018.

Selain Muhyiddin, lima nama ahli politik disebut ketika perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menerima sumbangan wang tunai RM300,000 pada 4 Jun 2018; RM500,000 (4 Julai 2018) dan RM500,000 (23 Ogos 2018) berdasarkan buku lejar syarikat itu.

Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata, kod nama 'TSM' dalam lejar ialah Tan Sri Muhyiddin, manakala 'Team Pagoh' adalah nama projek.

"Saya setuju projek UKSB di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan sumbangan diserahkan untuk kerajaan pada masa itu. Muhyiddin adalah Menteri Dalam Negeri selepas Ahmad Zahid pegang jawatan berkenaan.

"Saya juga mengesahkan Khairy menerima dana politik RM3.7 juta daripada UKSB, manakala Reezal Merican menerima dana antara RM200,000 hingga RM300,000 secara sekali daripada syarikat," katanya.

Ahmad Zahid hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - NSTP/Asyraf Hamzah
Ahmad Zahid hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - NSTP/Asyraf Hamzah

Pada 10 Mei 2018, Pakatan Harapan (PH) meraih majoriti mudah di Parlimen untuk membentuk kerajaan sebelum Muhyiddin dilantik Menteri Dalam Negeri bermula 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020.

Pada 18 Mei lalu, bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun mengesahkan syarikatnya menghantar wang tunai setiap bulan dalam mata wang dolar Singapura kepada Ahmad Zahid dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak sistem Visa Luar Negara (VLN).

Bayaran itu bermula akhir 2014 dengan SG$200,000 sebulan, sebelum meningkat kepada SG$520,000 sebulan pada 2017.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama ketika itu, mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Ahmad Zahid didakwa melakukan semua kesalahan itu di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Sementara itu, Ahmad Zaidi berkata, nama Reezal Merican dan Hishammuddin ada dalam laporan analisa kes cawangan forensik serta teknologi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahmad Zaidi: Adakah Reezal Merican merujuk kepada (bekas) Timbalan Menteri Luar?

Siong Sun: Saya tidak pasti.

Ahmad Zaidi: Ada juga kod nama 'MOR' dalam fail lejar itu yang merujuk kepada (bekas) Menteri Luar Bandar, Shafie Apdal?

Siong Sun: Ya.

Ahmad Zaidi: 'FM' (kod nama dalam lejar merujuk Menteri Luar) pula siapa?

Siong Sun: Anifah Aman.

Siong Sun turut menafikan beliau, Vui Khiun dan seorang lagi bekas Pengarah UKSB, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani berkonspirasi melakukan kesalahan jenayah iaitu pengubahan wang haram, rasuah, pecah amanah dan mengelak membayar cukai.

"Saya tidak berbohong dalam penyataan bertulis yang dibaca dalam mahkamah sebelum ini," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 25 Julai ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Berita Harian X