Khamis, 16 Jun 2022 | 7:45pm
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah (tengah) menyaksikan pertukaran MoU di antara Rektor UiTM Kampus Jasin, Prof Madya Dr Mohd Rasdi Zaini (berkot) dan Ahli Lembaga Pengarah LPNM, Alang Md Daud Dawan di UiTM Kampus Jasin, hari ini. NSTP/AMIR MAMAT
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah (tengah) menyaksikan pertukaran MoU di antara Rektor UiTM Kampus Jasin, Prof Madya Dr Mohd Rasdi Zaini (berkot) dan Ahli Lembaga Pengarah LPNM, Alang Md Daud Dawan di UiTM Kampus Jasin, hari ini. NSTP/AMIR MAMAT

Nanas Malaysia dapat permintaan tinggi dari negara-negara Eropah

JASIN: Pengeluaran nanas di negara ini belum mampu menampung permintaan dari beberapa negara Eropah yang berminat mengimport tanaman itu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata antara negara yang berminat mengimport nanas dari Malaysia ialah Jerman yang berhasrat mendapatkan hasil tanaman itu dalam jumlah yang besar.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya menerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran nanas sehingga 700,000 metrik tan setahun menjelang 2025.

"Semasa MAFI menyertai EXPO Dubai 2020, baru-baru ini, kita menerima banyak permintaan nanas dari beberapa negara, namun terpaksa menolaknya kerana kita belum mampu untuk mengeksport, sebaliknya hanya menumpukan kepada keperluan dalam negara.

"Kita hanya boleh mengeksport 30 peratus hasil keluaran tanaman nanas, manakala 70 peratus lagi adalah untuk kegunaan dalam negara.

"Namun, saya yakin dengan usaha LPNM untuk meningkatkan lagi tanaman nanas kepada 20,000 hektar, sasaran kita memperoleh 700,000 metrik tan setahun dapat direalisasikan, sekali gus mampu eksport ke negara luar," katanya.

Beliau ditemui selepas menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan LPNM di UiTM Kampus Jasin, di sini hari ini.

UiTM diwakili Rektor Kampus Jasin, Prof Madya Dr Mohd Rasdi Zaini manakala LPNM pula diwakili Ahli Lembaga Pengarahnya, Alang Md Daud Dawan.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah LPNM, Khairulzamri M Salleh.

Ahmad berkata, eksport nanas Malaysia menunjukkan trend meningkat sejak 2016 hingga tahun lalu menerusi nilai keseluruhan RM1.1 bilion berbanding RM642 juta tahun sebelumnya.

Katanya, jumlah itu merangkumi pelbagai hasilan berasaskan nanas segar, nanas kaleng dan industri bromeliad.

Beliau berkata, terdapat peningkatan permintaan dari China dan Timur Tengah terhadap nanas negara ini, terutama bagi varieti MD2 dan varieti tempatan seperti N36 dan Josapine.

"Singapura pula adalah negara pengimport tertinggi bagi produk nanas Malaysia dengan penguasaan pasaran 66 peratus," katanya.

Berita Harian X