Khamis, 16 Jun 2022 | 5:09pm

Kanak-kanak tercicir imunisasi ketika PKP dikesan

SEMPORNA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berusaha mengesan kes bayi atau kanak-kanak yang tercicir daripada mendapatkan imunisasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk penjadualan semula suntikan, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata impak pandemik COVID-19 menyebabkan kedatangan kanak-kanak mendapatkan pelbagai imunisasi di klinik kesihatan menurun pada ketika itu kerana ibu bapa bimbang penularan COVID-19 sehingga tercicir tarikh janji temu.

"Sekiranya ibu bapa atau penjaga tidak pasti sama ada anak-anak mereka tercicir sebarang imunisasi, mereka boleh menghubungi atau terus ke klinik kesihatan berdekatan untuk semakan rekod imunisasi," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di sini semalam.

Katanya di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk bayi dan kanak-kanak terdapat 11 jenis produk vaksin diberikan untuk mencegah 13 penyakit termasuk Tuberkulosis (TB) , Hepatitis B, Difteria, Tetanus (Kancing Gigi), Pertussis (Batuk Kokol), Polio, Measles (Campak) , Mumps (Beguk) dan Rubella.

Sementara itu Noor Azmi berkata Kementerian Kesihatan bercadang mengadakan Program Jelajah Imunisasi mengikut zon yang akan dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini bagi meningkatkan pencapaian liputan imunisasi serta meningkatkan pengetahuan umum mengenai imunisasi serta vaksin.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata lebih 795,000 kanak-kanak di bawah 15 tahun di Sabah sudah menerima vaksinasi lengkap bagi pelbagai jenis vaksin menerusi Program Imunisasi Kebangsaan, namun dianggarkan terdapat 79,000 kanak-kanak masih tercicir.

"Oleh itu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dengan kerjasama agensi lain akan meneruskan pemberian imunisasi sehingga jumlah kanak-kanak tercicir vaksin adalah pada tahap minimum," katanya.

Pada majlis semalam, dua petugas Klinik Kesihatan Pagalungan iaitu Mohd Qayyum Saiman dan Mohd Shazwi Manglun diberikan sijil penghargaan di atas usaha menyelamatkan bekalan vaksin Polio selepas terbabit insiden bot terbalik di Sungai Pagalungan pada 10 Julai 2020.

Mohd Qayyum, 22, ketika ditemui berkata bot milik jabatan yang dikendalikan bersama Mohd Shazwi dari Salong membawa vaksin Polio terbalik di Sungai Pagalungan akibat terkena pokok yang tiba-tiba tumbang.

"Ketika kejadian air sungai deras dan banjir, apabila bot terbalik, kami hanya fikir selamatkan vaksin," tambahnya.

Pada majlis berkenaan, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak turut menerima Anugerah Khas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan kerana mencapai liputan yang tertinggi secara purata bagi setiap daerah selain mencapai liputan dos penggalak melebihi 73 peratus termasuk daerah di pedalaman.

Negeri Sarawak juga mempunyai liputan tertinggi bagi PICKids iaitu satu-satunya negeri dengan liputan dos pertama melebihi 90 peratus. – BERNAMA

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
Berita Harian X