Khamis, 16 Jun 2022 | 4:18pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Kenaikan kadar faedah diumum Fed tidak beri kesan kepada Malaysia

PUTRAJAYA: Keputusan Bank Pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed) mengumumkan kenaikan kadar faedah 0.75 mata peratusan, tidak memberi kesan kepada Malaysia buat masa ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kenaikan itu sudah dijangka sejak minggu lalu.

"Seperti yang kita tahu, pasaran pun terkesan dan ini kerana kadar inflasi yang tinggi di Amerika Syarikat menyebabkan bank pusat mereka menaikkan kadar faedah.

"Bagaimanapun, impak kepada Malaysia secara asasnya ialah kita perlu melihat apa impaknya kepada global terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Strategik Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) di sini, hari ini.

Bank Pusat AS, Rizab Persekutuan hari ini mengumumkan kenaikan kadar faedah paling agresif dalam hampir 30 tahun dan berkata ia bersedia untuk berbuat demikian sekali lagi pada bulan hadapan dalam langkah habis-habisan mengawal inflasi yang tinggi.

Kenaikan besar-besaran 0.75 mata peratusan itu dibuat setelah Fed berdepan tekanan dalam mengekang kenaikan harga bahan api dan makanan yang menyebabkan berjuta-juta rakyat AS bergelut untuk memenuhi keperluan hidup dan sokongan terhadap Presiden Joe Biden menurun.

Mengulas lanjut, Zafrul berkata, Malaysia kini memantau perkembangan lanjut perkara itu serta kesannya di peringkat global.

"Malaysia sebagai negara kecil tetapi terbuka bergantung kepada pertumbuhan ekonomi dunia dan jangkaannya ialah dengan kenaikan kadar faedah ini, ekonomi AS masih mengembang tetapi pada kadar perlahan.

"Apa yang kita lakukan setakat ini, kadar faedah kita masih rendah tetapi bergantung kepada peringkat global," katanya.

Justeru, beliau berkata, Malaysia perlu ada intervensi dari segi dasar kewangan dam fiskal yang berpatutan bagi melindungi rakyat daripada kesan inflasi tinggi.

Dalam pada itu, Zafrul berkata, kerajaan sedang membuat kajian sama ada mahu melanjutkan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi kenderaan yang berakhir hujung bulan ini, atau sebaliknya.

Katanya, sejak pengecualian itu dilaksanakan, kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM4.8 bilion yang sepatutnya boleh digunakan untuk membantu rakyat.

"Selama PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sehingga kini, kita sudah lanjutkan beberapa kali tetapi kutipan hasil yang hilang ialah sebanyak RM4.8 bilion. Itu adalah jumlah besar yang boleh kita gunakan untuk menolong rakyat.

"Jadi kita kena mengkaji betul-betul, katakanlah kita lanjutkan lagi tiga bulan, kosnya ialah lebih kurang RM1.2 bilion. Lebih banyak kereta dijual, lebih banyak pendapatan negara hilang," katanya.

Katanya, sebarang keputusan berhubung perkara itu akan diumumkannya hujung bulan ini.

Berita Harian X