Khamis, 16 Jun 2022 | 2:23pm
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat bagi merasmikan mesyuarat kedua bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini. - fotoBERNAMA
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat bagi merasmikan mesyuarat kedua bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini. - fotoBERNAMA

EXCO perlu kerja sungguh-sungguh atau ditukar

ISKANDAR PUTERI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) Johor di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya menjalankan amanah dengan bersungguh-sungguh, sekiranya tidak mahu ditukar.

Sultan Ibrahim bertitah, langkah itu akan diambil terhadap EXCO yang gagal memikul tugas diberikan.

"Saya telah lantik lebih 70 peratus EXCO di bawah usia 50 tahun, malah ada lima EXCO di bawah usia 40 tahun. Jadi saya harap dengan gabungan EXCO dan pelbagai latar belakang pendidikan dan pengalaman akan dapat bawa kemajuan dan kecemerlangan kepada Johor.

"Saya akan perhatikan dan nilai prestasi kerja setiap EXCO dan saya akan buat pertukaran jika ada (EXCO) yang gagal pikul tugas yang telah diberikan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, hari ini.

Sambil mengucapkan tahniah kepada semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini yang baharu, Sultan Ibrahim menitahkan semua ahli dewan supaya mematuhi peraturan dewan.

"Sidang DUN Johor ada peraturan yang wajib dipatuhi, jaga adab, tingkah laku dan tertib, saya juga berharap Speaker baharu akan bertindak tegas di mana jika ada ADUN melanggar peraturan jangan teragak-agak ambil tindakan.

"Suka saya ingatkan setiap Ahli Dewan wajib hadir dalam semua Persidangan, kerana ini tugas sebagai Ahli Dewan, pastikan jangan ada yang ponteng," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda berharap banyak perkara dapat dijalankan dengan mudah dan lancar kerana kerajaan negeri mempunyai majoriti besar.

Namun titah baginda, ia bukan bermakna kerajaan negeri boleh buat sesuka hati kerana baginda akan meneliti semua perkara yang akan dilaksanakan.

"Saya berharap tiada lagi perebutan kuasa sehingga tamat penggal lima tahun ini. Hentikan semua kempen politik kerana sekarang adalah waktu bekerja dan tunaikan semua janji yang dibuat dahulu," katanya.

Berita Harian X