Rabu, 15 Jun 2022 | 6:42pm
Datuk Megat Zulkarnain Omardin (tiga dari kiri) menyampaikan Bantuan Awal Pengajian kepada pelajar tahun pertama Fakulti Ekonomi, UNIMAS, Halim Ismawi, disaksikan Ahli Lembaga Penasihat YBR, Datuk Mohd Shahrizal Sahri (dua dari kiri) dan Naib Canselor UNIMAS, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi - Foto NSTP/Ihsan YBR.
Datuk Megat Zulkarnain Omardin (tiga dari kiri) menyampaikan Bantuan Awal Pengajian kepada pelajar tahun pertama Fakulti Ekonomi, UNIMAS, Halim Ismawi, disaksikan Ahli Lembaga Penasihat YBR, Datuk Mohd Shahrizal Sahri (dua dari kiri) dan Naib Canselor UNIMAS, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi - Foto NSTP/Ihsan YBR.

Yayasan Bank Rakyat hulur sumbangan kemasukan IPTA

KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan Bantuan Awal Pengajian berjumlah RM160,000 kepada pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak kampus Kota Samarahan.

Seramai 160 pelajar daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah yang menerima tawaran kemasukan melanjutkan pengajian di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di dua universiti berkenaan menerima bantuan itu.

Pengerusi YBR, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin, berkata setiap pelajar menerima RM1,000 untuk membuat persediaan kemasukan sesi pengajian yang baru bermula.

"Selain misi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan terutama masyarakat luar bandar, pedalaman dan miskin bandar dalam memberi peluang kepada mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, saya berharap inisiatif seperti ini dapat meringan beban ibu bapa yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

"Program bantuan ini sedikit sebanyak mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa dan pelajar sebelum mendapat mana-mana bantuan atau dana dalam meneruskan pengajian mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan cek bantuan awal pengajian itu kepada Naib Canselor UNIMAS, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof Datuk Dr Jamil Hamali dalam Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian YBR di Kota Samarahan, Sarawak, hari ini.

Turut hadir dalam adalah Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain berharap lebih banyak agensi atau badan bukan kerajaan tampil dan mengikut jejak langkah membantu kepada mereka memerlukan khususnya masyarakat luar bandar.

"YBR juga amat mengalu-alukan bantuan seperti ini kerana sekurang-kurangnya pelajar kurang berkemampuan mendapat perhatian pihak luar dan memberikan rasa keterujaan untuk membuat persiapan memasuki pengajian sama seperti mereka yang bernasib baik," katanya.

Beliau berkata bantuan permulaan itu juga diharap dapat melahirkan pelajar komited, berkualiti, mampan, bercirikan keusahawanan serta mampu berdaya saing di semua peringkat dan berharap pelajar memanfaatkan setiap peluang disediakan.

Untuk rekod, seramai 3,277 pelajar menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR membabitkan peruntukan sebanyak RM2.2 juta sejak tahun 2017, manakala bagi tahun ini, sejumlah RM1 juta diperuntukkan bagi bantuan sama.

Berita Harian X