Rabu, 15 Jun 2022 | 6:22pm
Norhayati Sambak. - BERNAMA
Norhayati Sambak. - BERNAMA

Sebelah mata tak berfungsi tak halang ibu 7 anak genggam PhD

SHAH ALAM: Walaupun mengalami masalah penglihatan iaitu mata kanan tidak berfungsi, ia tidak sesekali melunturkan semangat ibu tujuh anak untuk memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD).

Norhayati Sambak, 52, berkata meskipun mengambil masa enam tahun, beliau bersyukur dapat menghabiskan pengajiannya dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam hari ini, pensyarah di UiTM Kelantan ini berkata, anak-anak dan suami adalah pembakar semangatnya untuk menggapai PhD.

"Tipulah jika tidak pernah ada rasa putus asa, pernah rasa mahu jual tanah untuk bayar semula duit kerajaan (biasiswa). Pernah juga satu tahap, rasa macam sudah tak nampak (hala tuju) kerana tiada hasil. Bersyukur ada penyelia yang sangat menyokong," katanya.

Norhayati kini terpaksa menggunakan kanta pembesar bagi menjalani kehidupan seharian selepas mata kirinya pula menghidap lekangan retina, namun itu tidak memadamkan cita-citanya untuk meraih skrol PhD.

"Tahun lalu, selepas selesai PhD, saya terpaksa lalui dua kali pembedahan mata kiri. Mata kanan tidak berfungsi sejak 10 tahun lalu, hanya guna mata kiri. Mungkin terlalu mengharapkan mata kiri, ia terlalu stres hingga jadi seperti ini (tidak nampak)," katanya.

Selesai temu bual, wanita cekal yang telah menghasilkan dua buku berkaitan kewangan ini, dibantu staf UiTM mendapatkan suaminya yang menunggu di pekarangan dewan memandangkan penglihatan sangat minimum membantutkan pergerakannya.

Sementara itu, Asisten Superintendan Abang Faisal Yaman, 54, juga melahirkan rasa syukur selepas penantiannya selama tujuh tahun bagi memperoleh PhD dalam pengurusan korporat akhirnya tercapai.

Selain sokongan rakan-rakan, Ketua Cawangan Pengajian Latihan Asas/Lanjutan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kota Kinabalu ini, berkata kemahuannya mahu memakai bonnet atau topi PhD mendorongnya untuk terus berusaha.

"Jika mahu belajar PhD, perlu pandai membahagikan masa dan perlu mencari titik perubahan supaya terus bersemangat. Saya akan pastikan dalam masa satu hari, dua jam diperuntukkan untuk PhD. Jika bekerja di luar kawasan mesti bawa komputer riba, sebab itu nadi kita supaya kita tidak lupa," katanya.

Bapa dua anak ini berharap kejayaannya memberikan galakan buat rakan dan anak-anaknya untuk terus belajar ke peringkat tertinggi.

Terdahulu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan ijazah PhD, sarjana dan sarjana muda kepada 1,124 graduan UiTM pada hari kedua istiadat konvokesyen. – BERNAMA

Berita Harian X