Rabu, 15 Jun 2022 | 3:02pm

1.9 juta kediaman tidak dihuni

KUANTAN: Jabatan Perangkaan (DOSM) merekodkan 1.9 juta daripada 9.6 juta kediaman di seluruh negara tidak didiami.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata berdasarkan penemuan Banci Malaysia 2020, berbanding 2010 hanya 1.2 juta kediaman kosong direkod yang menunjukkan penambahan 700,000 kediaman.

"Statistik itu turut merekodkan sebanyak 18 peratus kediaman di Pahang yang dibeli tidak didiami sepenuhnya dan Melaka pula merekodkan lebih 30 peratus kediaman tidak didiami.

"Antara faktor ialah kediaman dibeli itu tidak didiami dan dijadikan sebagai rumah persinggahan, homestay dan lain-lain kerana pemilik bekerja di tempat lain," katanya.

Mohd Uzir berkata demikian pada sidang media sempena Program Jelajah Banci Malaysia: Pahang Bersama Media di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Bancian Malaysia 2020 turut merekodkan penduduk negara ini berjumlah 32.4 juta orang.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 17 juta adalah golongan lelaki manakala 15.5 juta pula wanita.

"Nisbah jantina pula 113 lelaki bagi setiap 100 wanita," katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, DOSM yang baharu membangunkan platform data terbuka generasi baharu dikenali sebagai 'KAWASANKU' sedang meningkatkan kesedaran mengenai kewujudan platform itu kepada rakyat negara ini.

Katanya, ini kerana KAWASANKU mengandungi informasi berkaitan profil demografi penduduk berdasarkan penemuan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020.

"Dengan mengakses KAWASANKU melalui https://kawasanku.dosm.gov.my/, rakyat boleh mendapatkan maklumat berkaitan memaparkan statistik kependudukan dan indikator demografi serta sosioekonomi," katanya.

Platform KAWASANKU boleh menjadi nadi kepada perancangan lebih khusus dan spesifik mengikut bidang fokus di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai rujukan dan analisis perbandingan.

KAWASANKU turut menyediakan perbandingan 'visualisation map' di peringkat Parlimen dan DUN untuk beberapa indikator antaranya maklumat kepadatan penduduk, pendapatan isi rumah, kadar kemiskinan, akses kepada bekalan elektrik dan air dan peratus permukaan diliputi hutan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (tengah) bersama Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Pahang, Khairolnizam Hassan (kiri) dan Pengarah Kanan Bahagian Perangkaan Penduduk dan Demografi, Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Bajuri melihat kandungan buku mengenai Jelajah Banci Malaysia ketika sesi bersama wartawan dan media, di sini. - Foto NSTPP/Farizul Hafiz Awang
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (tengah) bersama Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Pahang, Khairolnizam Hassan (kiri) dan Pengarah Kanan Bahagian Perangkaan Penduduk dan Demografi, Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Bajuri melihat kandungan buku mengenai Jelajah Banci Malaysia ketika sesi bersama wartawan dan media, di sini. - Foto NSTPP/Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X