Rabu, 15 Jun 2022 | 1:32pm
Antara hasil aktiviti 'growing bacteria' dilaksanakan murid berpandukan Modul STEM COVID-19 yang dihasilkan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS). - Foto UMS
Antara hasil aktiviti 'growing bacteria' dilaksanakan murid berpandukan Modul STEM COVID-19 yang dihasilkan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS). - Foto UMS

Penyelidik UMS bangun modul STEM COVID-19 bagi PdP

KOTA KINABALU: Penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya membangunkan modul Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) COVID-19 yang mengaitkan pembelajaran bidang berkenaan dengan aspek kesihatan murid.

Modul berasaskan konsep STEM itu diusahakan kumpulan penyelidik Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS, diketuai Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr Connie Cassy Ompok menggunakan Geran Penyelidikan Khas Pasca COVID-19 yang diterima pihaknya sebelum ini.

Dr Connie Cassy Ompok. - Foto UMS
Dr Connie Cassy Ompok. - Foto UMS

Kanak-kanak tadika melakukan aktiviti 'swab and see' menggunakan radas sains menerusi Modul STEM COVID-19 dihasilkan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS). - Foto UMS
Kanak-kanak tadika melakukan aktiviti 'swab and see' menggunakan radas sains menerusi Modul STEM COVID-19 dihasilkan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS). - Foto UMS

Connie berkata, modul itu juga dibangunkan untuk membantu guru mendidik murid mengenai kepentingan penjagaan kebersihan diri dan kesannya terhadap penaakulan moral murid.

"Modul ini menggunakan pendekatan inkuiri bagi memberi peluang murid mempelajari isu semasa seperti COVID-19 dan pada masa sama membabitkan diri secara aktif dalam penerokaan setiap akiviti yang berkaitan pembelajaran STEM.

"Pembelajaran kesihatan ini membawa murid meneroka punca seseorang mudah dijangkiti penyakit dan kaedah yang boleh menghindarkan diri daripada dijangkiti," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau bersama beberapa penyelidik lain dari FPP UMS, iaitu Dr Noraini Said dan Phreoza Dayzency Missie memilih membangunkan modul berkenaan di bawah bimbingan penasihat projek, Prof Datuk Dr Noraini Idris.

Ketika fasa pembangunan modul, katanya, timbul persoalan mengenai strategi terbaik dalam memperkenalkan STEM kepada murid di samping membantu mereka untuk mengetahui amalan kebersihan yang perlu diterapkan.

"Bagi menjawab persoalan itu, murid didedahkan dengan 10 aktiviti berkaitan kebersihan diri menggunakan pembelajaran STEM, seterusnya membantu penaakulan moral murid seiring perkembangan semasa fasa peralihan ke endemik COVID-19.

"Modul STEM COVID-19 ini turut membantu guru memanfaatkan ruang bilik darjah sebagai makmal sains, sekali gus membantu perkembangan murid secara holistik," katanya menambah, aktiviti dalam modul itu memenuhi standard pembelajaran tunjang sains.

Tunjang berkenaan, katanya, termasuk menunjukkan sikap ingin tahu, sistematik, bekerjasama dan bertanggungjawab, membuat ramalan berdasarkan aktiviti yang dijalankan serta menerangkan pemerhatian melalui hasil kerja atau lisan.

"Aktiviti terbabit ialah mengenali pertumbuhan bakteria bagi membolehkan murid mengenali nama bentuk bakteria seperti Cocci, Bacilli, Vibrio dan Spirochaete. Ada juga aktiviti calit dan lihat (swab and see), iaitu aktiviti yang memberi pendedahan awal melihat bakteria menerusi mikroskop.

"Ia bagi membuat ramalan, pemerhatian, melaksanakan penilaian dan perbandingan objek atau tempat yang kotor. Selain itu, ada juga aktiviti dipanggil 'making toy soap' yang memperkenalkan konsep matematik, iaitu kemahiran mengukur di samping mempelajari konsep masa," katanya.

Connie berkata, modul berkenaan menerima pingat perak pada Ekspo Kecemerlangan Rekacipta UMS 2020 dan disebut dalam artikel 'International Conference on Art, Design, Education and Cultural Studies (ICADECS) pada 2 Jun 2021.

Untuk akses modul berkenaan, layari laman https://online.anyflip.com/hkgyn/hcfd/index.html.

Berita Harian X