Selasa, 14 Jun 2022 | 1:05pm
(Gambar fail) Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - FOTO BERNAMA

Terap kejujuran, amanah dan integriti ke dalam setiap jiwa mahasiswa - Agong

SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mahu semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini menerapkan elemen kejujuran, amanah serta integriti ke dalam setiap jiwa mahasiswa.

Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertitah, usaha memperkukuhkan integriti nasional serta etika amalan kerja yang baik oleh semua warganegara, hendaklah dipupuk dan dibentuk di setiap bilik serta dewan syarahan IPT.

"Pembudayaan integriti hendaklah wujud dalam setiap jiwa dan sanubari rakyat Malaysia, bermula dari bangku sekolah dan terus ditanam serta diperkasakan ketika di menara gading.

"Sesungguhnya, prasyarat bagi kejayaan sesebuah negara adalah bergantung pada masyarakat dan tenaga kerja yang jujur, amanah serta berintegriti," titah baginda pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam, di sini, hari ini.

Yang turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Al-Sultan Abdullah turut menasihati graduan agar sentiasa merebut segala peluang pekerjaan yang ada, di samping berusaha ke arah kebaikan dan bersikap jujur.

Baginda bertitah, agama Islam dan semua agama di dunia mengutuk serta mencela amalan rasuah kerana ia bagaikan barah yang boleh menghancurkan sebuah tamadun.

"Sejarah telah kerap membuktikan bahawa jatuh atau bangunnya sesebuah negara adalah berkait rapat dengan sikap jujur, amanah dan integriti, seperti dalam catatan sejarah Melayu 'Sulatus Al-Salatin'.

"Tun Sri Lanang meriwayatkan bagaimana runtuhnya kerajaan Melaka yang terbina ratusan tahun lamanya, akibat perbuatan rasuah Bendahara Seri Maharaja," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah, arus globalisasi dan dunia tanpa sempadan bukan hanya membawa kesan kepada ekonomi tetapi juga pelbagai impak dari segi sosiobudaya.

"Tanpa kita sedari, fenomena ini turut meninggalkan kesan kepada sifat-sifat terpuji dan nilai-nilai moral sesuatu masyarakat," titah baginda.

Sementara itu pada istiadat berkenaan, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyempurnakan pemasyhuran Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu.

Baginda bertitah, pemasyhuran Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor sebuah universiti yang mempunyai nilai warisan sejarah yang sarat ikatan pertalian dengan Selangor, adalah sangat tepat.

"Semoga pemasyhuran ini akan membuka lembaran baharu untuk UiTM terus dimartabatkan sebagai institusi pengajian awam yang unggul di negara," titah baginda.

Istiadat konvokesyen yang berlangsung secara bersemuka mulai hari ini hingga 6 Julai depan itu meraikan keseluruhan 27,287 graduan.

Sidang pertama istiadat berkenaan menyaksikan Al-Sultan Abdullah menganugerahkan ijazah doktor falsafah kepada 89 graduan dalam pelbagai bidang, dan 14 penerima Anugerah Graduan Terbaik 2022.

Berita Harian X