Isnin, 13 Jun 2022 | 1:21pm
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. - Foto fail
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. - Foto fail

Negeri Sembilan salur RM13.2 juta bantu pelajar ke IPT

SEREMBAN: Inisiatif bantuan anak ke institut pengajian tinggi (IPT) yang dilaksanakan kerajaan negeri telah berjaya memberi manfaat seramai 15,936 pelajar dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM13.2 juta setakat ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata seramai 5,678 pelajar menerima manfaat itu pada 2019 diikuti 2020 (4,555 pelajar) dan 2021 (4,646 pelajar) dan seramai 1,057 pelajar sehingga Jun ini.

"Inisiatif ini menawarkan bantuan kewangan kepada pelajar tahun pertama yang layak memasuki IPT dengan jumlah bantuan mengikut tahap pengajian mereka iaitu RM1,000 bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda, diploma (RM750) dan sijil

(RM500).

"Inisiatif ini diwujudkan untuk memastikan tiada kalangan anak yang tercicir untuk menikmati pendidikan yang sempurna selain memastikan mereka dapat meneruskan kecemerlangan di peringkat tertinggi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri Sembilan melalui Yayasan Negeri Sembilan (YNS) turut memperuntukkan dana berjumlah RM1.4 juta bagi memberi sumbangan komputer riba kepada pelajar dari golongan B40 tahun ini.

Menurutnya, komputer riba yang disumbangkan adalah mengikut keperluan kursus atau pengajian yang diambil.

"Sekiranya pelajar terbabit mengambil kursus yang memerlukan komputer berspesifikasi tinggi seperti rekaan grafik, kejuruteraan dan sebagainya, pihak YNS akan memberikan komputer riba yang bersesuaian.

"Ini bagi memastikan setiap sumbangan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh setiap penerima," katanya.

Aminuddin berkata, selain memudah dan meringankan beban pelajar, bantuan berkenaan juga berjaya menyuntik semangat anak negeri dalam pengajian masing-masing apabila ramai kalangan mereka itu yang berjaya mendapatkan keputusan kelas pertama.

"Saya berharap bantuan ini dapat membakar semangat pelajar mencatatkan kejayaan cemerlang ketika di IPT dan memastikan mereka berupaya menjadi insan cemerlang pada masa hadapan," katanya.

Berita Harian X