Sabtu, 11 Jun 2022 | 1:42pm

Rakyat perlu kekalkan nilai kemakmuran - Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah rakyat perlu mengekalkan nilai yang membawa kemakmuran selepas kemerdekaan kepada semua lapisan masyarakat walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Baginda bertitah rakyat perlu terus memperjuangkan dan kekal menjadi contoh kepelbagaian budaya.

"Secara global, kita sedang berdepan tiga krisis yang teruk dan bertindih, kesan daripada pandemik COVID-19, peperangan di Ukraine dan krisis makanan yang sedang meningkat.

"Kombinasi cabaran ini memaksa negara-negara untuk memikirkan semula mengenai globalisasi.

"Pandemik mengurangkan hubungan antara negara-negara, syarikat dan juga manusia," titah baginda pada majlis pelancaran buku 'The Malays: Pathfinders and trailblazers" di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di sini, hari ini.

Sultan Nazrin, bertitah rantaian bekalan global mula terputus, pertumbuhan ekonomi global menguncup dan harga makanan dan tenaga melambung tinggi.

"Seperti yang dimaklumkan oleh buku ini, selama beradab-abad, tanah kepulauan Melayu terbuka kepada aliran perdagangan, modal, buruh dan idea.

"Keterbukaan kepada pengaruh luar ini yang membentuk siapa kita dan membantu kita berjaya," titah baginda.

Baginda bertitah bahawa pencapaian terbesar yang dikecapi pada masa lalu dan juga kini adalah melalui usaha bersama.

"Inilah yang perlu kita teruskan dan cara untuk melangkah ke hadapan menuju masa depan bersama dan berkembang maju," titah baginda.

Mengulas buku berkenaan, Sultan Nazrin bertitah ia menghamparkan santapan minda mengenai perkara yang dapat membantu orang Melayu melawati sejarah bangsanya.

Baginda bertitah sekiranya minda dan jiwa Melayu selama ini terpengaruh dalam perangkap dan orbit pemikiran yang menjadikannya berjiwa rendah, salahnya terletak kepada bangsa itu sendiri yang memamah bulat-bulat juadah dihidangkan oleh orang lain.

"Keadaan itu berlaku berpunca daripada sikap bangsa yang tidak memberikan perhatian berat untuk merekodkan, apatah lagi menulis sejarah daripada lensa dan berdasarkan tafsiran bangsanya sendiri.

"Begitu banyak khazanah pengetahuan bangsa tertimbus dalam bentuk pengetahuan tersirat," titah baginda.

Baginda, bertitah pengetahuan yang tidak direkodkan akan lupus bersama pemilik pengetahuan itu apabila dia meninggalkan dunia ini.

"Penulisan yang dikodifikasikan apatah lagi jika diterbitkan, akan tersebar lebih luas dan dapat dijadikan bahan sejarah berharga dan bahan rujukan yang memberikan manfaat pada generasi terkemudian," titah baginda.

Buku setebal 520 muka surat terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu adalah hasil karya bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada majlis pelancaran buku ‘The Malays: Pathfinders and Trailbalzers' di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. - NSTP/Asyraf Hamzah
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada majlis pelancaran buku ‘The Malays: Pathfinders and Trailbalzers' di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. - NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X