Sabtu, 11 Jun 2022 | 11:26am

Hashim berbasikal setiap hari beri makan kucing terbiar

MELAKA: Rasa sayang kepada haiwan mendorong Hashim Ibrahim, 76, berbasikal saban hari sekitar Cheng, dekat sini untuk mencari dan memberi makan kucing terbiar dan kawanan burung.

Bakul besar dibawanya bukan saja diisi makanan kucing, tetapi juga makanan untuk burung jika terserempak haiwan berkenaan ketika dia di dalam 'misi' yang jarang dilakukan orang lain itu.

Ketika ditemui, Hashim yang masih bujang dan menyara hidup dengan wang bantuan disalurkan kerajaan sebanyak RM500 sebulan, berkata ramai salah sangka dia menjual barang atau buah-buahan dibawa dalam bakul berkenaan.

"Inilah rutin saya sejak lebih 30 tahun lalu walaupun tak ada kerja apa-apa. Saya suka kucing, kasihan lihat kucing terbiar di kaki lima bangunan atau tepi jalan, jadi saya beri makan.

"Wang bantuan kerajaan RM500 sebulan, sebahagian saya gunakan untuk membeli makanan kucing, merpati, tekukur dan merbok. Wang itu cukup untuk saya tampung perbelanjaan sendiri dan makanan haiwan, tambahan ada juga insan-insan yang bersedekah," katanya.

Hashim menunjukkan makanan kucing dan burung dibawanya. - NSTP/Nazri Abu Bakar
Hashim menunjukkan makanan kucing dan burung dibawanya. - NSTP/Nazri Abu Bakar

Dia yang bersyukur dapat membantu kucing-kucing terbiar, biasanya keluar rumah sebelah pagi dan petang dengan basikalnya, terhad di sekitar Cheng dengan jarak perjalanan antara lima atau enam kilometer sehari.

"Jika dulu saya boleh berkayuh sehingga Bandar Hilir dan Batang Tiga, kini tak lagi, tambahan sekarang kenderaan banyak di jalan raya. Syukur Allah masih memberi kesihatan yang baik dan setakat ini saya tak ada sebarang penyakit.

"Saya sentiasa berdoa terus diberi kekuatan untuk berkhidmat kepada haiwan terbiar," katanya yang sebelum ini melakukan pelbagai pekerjaan termasuk mengambil upah menoreh getah dan bertukang.

Hashim memberi makanan kucing terbiar ditemuinya di Cheng. - NSTP/Nazri Abu Bakar
Hashim memberi makanan kucing terbiar ditemuinya di Cheng. - NSTP/Nazri Abu Bakar
Berita Harian X