Jumaat, 10 Jun 2022 | 5:57pm
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba

MOSTI tawar kepakaran, teknologi atasi isu sekuriti makanan

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menawarkan senarai inventori yang boleh digunakan segera bagi membantu menangani isu sekuriti makanan dengan penyelesaian berlandaskan teknologi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pihaknya turut menawarkan kepakaran lebih 800 jaringan pakar saintis Akademi Sains Malaysia bagi mengenal pasti serta memadankan kaedah penyelesaian terbaik berlandaskan teknologi.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 46 penyelesaian teknologi sudah dikenal pasti tersedia untuk membantu menangani isu sekuriti makanan, selain MOSTI dan agensi di bawahnya giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) menyelesaiakan isu berkenaan.

Beliau berkata, Agensi Nuklear Malaysia antaranya sedang menjalankan R&D kaedah biak baka mutasi rumput, contohnya penghasilan varieti baharu rumput Napier lebih tinggi kandungan protein sebagai makanan utama haiwan ternakan seperti lembu dan kambing, selain ia sesuai dijadikan silaj.

"Selain Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), kerjasama ini akan diteruskan bersama pihak berkepentingan dan diperkasakan.

"Kementerian menerusi inisiatif bilik gerakan dikenali sebagai Bilik Gerakan Penyelesaian Teknologi MOSTI berperanan menyokong kerajaan bagi menangani isu bekalan makanan dengan menggunakan teknologi yang boleh diguna pakai penternak, peladang dan petani bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

"Menerusi bilik gerakan ini, jaringan bekalan dalam ekosistem akan dihubungkan dengan pantas antara pemain utama seperti pengusaha, pihak industri dan akademia bagi membantu menangani isu semasa negara dengan segera," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan, berkata penyelesaian isu sekuriti makanan jangka sederhana dan panjang berlandaskan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), penggunaan bioteknologi dan teknologi nano sudah dikenal pasti, melalui penubuhan bilik gerakan itu.

"MOSTI juga akan mengadakan sesi libat urus bersama persatuan penternak, peladang dan petani serta syarikat teknologi bagi menghimpunkan input yang dapat membantu menangani isu sekuriti makanan.

"Usaha kolektif dalam menghimpunkan pelbagai teknologi ini disuai padankan dengan penerima teknologi yang sesuai dapat meningkatkan kelestarian sumber bekalan makanan negara," katanya.

Berita Harian X