Khamis, 9 Jun 2022 | 5:21pm
Saifuddin (dua dari kiri) bersama Tunku Puteri Intan Safinaz (dua dari kanan) dan Cipolla (kiri) serta Milosevic (kanan) pada Majlis Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun Ke-50 ICRC hari ini. Foto Bernama
Saifuddin (dua dari kiri) bersama Tunku Puteri Intan Safinaz (dua dari kanan) dan Cipolla (kiri) serta Milosevic (kanan) pada Majlis Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun Ke-50 ICRC hari ini. Foto Bernama

Malaysia kongsi konsep hidup harmoni pelbagai kaum dengan negara lain

PUTRAJAYA: Malaysia sedia berkongsi konsep hidup bersama dalam budaya damai yang diketengahkan menerusi Kerangka Dasar Luar Negeri untuk diteladani negara lain, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai rekod agak baik dari segi kehidupan bersama pelbagai kaum dan agama dalam suasana damai yang boleh ditawarkan kepada negara lain.

Dalam lawatannya ke Sweden, Denmark dan Norway baru -baru ini, katanya, ia antara perkara dibincangkan dan ketiga-tiga negara Nordic itu menunjukkan minat kerana mereka sudah mula menerima sejumlah imigran dari negara lain yang sebahagian besarnya beragama Islam.

"Jadi kita menawarkan formula yang sudah berjaya kita laksanakan di Malaysia, bagaimana kita berdamai dengan masyarakat pelbagai agama.

"Ada beberapa dialog yang saya laksanakan di sana dan mungkin nanti akan ada tindakan susulan antara ahli akademik tempatan dengan ahli akademik mereka untuk bertukar-tukar fikiran bagaimana kita dapat melaksanakan hidup bersama dalam budaya damai," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada sambutan 50 tahun Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) di Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah; Pengarah Serantau ICRC untuk Asia dan Pasifik, Christine Cipolla serta Ketua Delegasi Wilayah Kuala Lumpur ICRC, Biljana Milosevic.

Saifuddin berkata demikian apabila ditanya mengenai peranan boleh dimainkan Malaysia bagi menangani isu Islamofobia susulan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW oleh dua ahli politik India baru-baru ini.

Kementerian Luar (Wisma Putra) sebelum ini mengeluarkan kenyataan Malaysia mengutuk perbuatan itu dan kementerian memanggil Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia pada Selasa lalu.

Saifuddin berkata, Malaysia mengalu-alukan keputusan parti pemerintah India menggantung dua pegawai parti Bharatiya Janata (BJP) terbabit berikutan kenyataan provokasi mereka.

"Kebimbangan kita adalah perkara ini sudah selalu berlaku sejak mutakhir ini dan kita minta kerajaan India berusaha menghentikan ia daripada berulang," katanya.

Malaysia adalah antara negara yang mengutuk tindakan ahli parti terbabit mengeluarkan komen berbaur penghinaan yang mencetuskan kemarahan banyak negara Islam.

Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Indonesia, Jordan, Iraq, Maldives, Bahrain dan Turki adalah antara negara yang turut mengecam kenyataan itu. – BERNAMA

Berita Harian X