Khamis, 9 Jun 2022 | 5:10pm
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah. Foto BERNAMA
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah. Foto BERNAMA

ICRC dicadang dimasukkan dalam Pasukan Petugas Khas selaras bantuan kemanusiaan ke Myanmar

PUTRAJAYA: Malaysia sekali lagi menyatakan pendirian supaya International Committee of the Red Cross (ICRC) dibabitkan dalam Pasukan Petugas Khas untuk menyelaras dan menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Myanmar.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata pendirian Malaysia itu juga akan dibawa ke Dialog Shangri-La di Singapura, Ahad ini.

Beliau berkata, ia berikutan petugas di Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) yang beribu pejabat di Jakarta, Indonesia, kurang berpengalaman menguruskan bantuan kemanusiaan di kawasan konflik seperti di Myanmar.

"AHA Centre ada pengalaman menghantar bantuan di tempat seperti berlaku banjir dan gempa bumi tetapi ini kawasan pertelingkahan yang membabitkan tembak menembak dan sebagainya.

"Saya mengatakan perlu ada lebih banyak kehadiran antarabangsa untuk menjadikan kerja pasukan bertindak itu lebih bermakna, terutama lebih telus dan saya sudah mencadangkan bahawa antara organisasi antarabangsa yang harus diajak bersama ialah ICRC," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke-50 ICRC di Malaysia, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah.

Myanmar kini berdepan konflik sejak tentera menggulingkan kerajaan awam pimpinan Suu Kyi, Februari tahun lalu.

Pada Mei lalu, Saifuddin dilaporkan berkata, Mercy Malaysia, satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing yang masih boleh beroperasi di Myanmar, justeru Malaysia akan mencadangkan ia diiktiraf sebagai satu daripada NGO dari ASEAN.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Dialog Shangri-La hujung minggu ini juga dijangka membincangkan banyak perkara termasuk bagaimana memastikan konsensus lima perkara (5PC) yang dicapai Pemimpin ASEAN ketika Pertemuan Pemimpin-Pemimpin ASEAN di Sekretariat ASEAN di Jakarta dapat direalisasikan.

5PC ialah pertama, menghentikan serta-merta keganasan di Myanmar dan semua pihak mengambil langkah untuk bertenang; kedua, dialog konstruktif antara semua pihak yang berkenaan akan dimulakan untuk mencari jalan penyelesaian damai demi kepentingan rakyat; ketiga, duta khas Pengerusi ASEAN akan memudahkan perantaraan proses dialog dengan bantuan Ketua Setiausaha ASEAN; keempat, ASEAN akan memberikan bantuan kemanusiaan melalui Pusat AHA; dan kelima, duta khas dan delegasi akan melawat Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak yang berkenaan.

Kerajaan awam Myanmar digulingkan pada Februari 2021 susulan kudeta selepas parti Union Solidarity and Development Party (USDP) yang disokong tentera mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya di negara itu pada 2020.

Rentetan daripada itu, Suu Kyi ditahan dan didakwa dengan pertuduhan rasuah serta jenayah lain.

Turut dikenakan tindakan adalah wakil rakyat daripada parti National League for Democracy (NLD) dan ramai aktivis lain yang dikenakan tahanan di rumah.

Berita Harian X