Khamis, 9 Jun 2022 | 2:31pm
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee melakukan ‘ ‘Flag Off ‘ kenderaan MAFI untuk MAHA 2022 di Maeps, Serdang. - Foto NSTP/Azhar Ramli
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee melakukan ‘ ‘Flag Off ‘ kenderaan MAFI untuk MAHA 2022 di Maeps, Serdang. - Foto NSTP/Azhar Ramli

Pemodenan agromakanan luar bandar diteruskan

SERDANG: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan meningkatkan pemodenan pengeluaran industri agromakanan negara di luar bandar dalam usaha memastikan aspirasi kerajaan untuk memastikan pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan menjelang 2025 dicapai.

Menteri, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata walaupun sasaran kerajaan itu tidak tertakluk kepada sektor pemakanan semata-mata, kementeriannya bersedia untuk memainkan peranan penting bagi mencapai hasrat itu.

Katanya, MAFI akan meningkatkan pengeluaran agromakanan negara menerusi teknologi terbaharu yang dilihat mampu mengurangkan kos pengeluaran.

"Pelbagai program diolah oleh kementerian dalam memastikan pengeluaran hasil pertanian makanan negara seterusnya secara langsung meningkatkan pendapatan isi rumah.

"Kita menumpukan penggunaan teknologi dalam industri agromakanan kerana kita tahu ia akan meningkatkan hasil dan mengurangkan kos industri itu sendiri," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022)di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MAFI kini sedang menumpukan kepada pemodenan industri pertanian dan agromakanan negara.

"Pemodenan dan penggunaan teknologi ini diaspirasikan oleh Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) itu sendiri," katanya.

Berita Harian X