Khamis, 9 Jun 2022 | 2:18pm
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof meninjau gerai niaga di hentian rehat dan rawat Temudok di Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, hari ini. - Foto NSTP/Mohd Roji Kawi
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof meninjau gerai niaga di hentian rehat dan rawat Temudok di Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, hari ini. - Foto NSTP/Mohd Roji Kawi

Kerajaan cari kaedah sesuai tangani beban kontraktor Pan Borneo

SRI AMAN: Kerajaan bersedia mempertimbangkan untuk membantu mengurangkan beban ditanggung kontraktor pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang terkesan akibat kenaikan harga bahan binaan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pihaknya sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk menetapkan mekanisme sesuai untuk menangani isu itu.

Beliau berkata, walaupun dalam perjanjian, kerajaan tidak bertanggungjawab dan tidak berkewajipan kerana kontrak dibuat berdasarkan harga siling bahan binaan ketika perjanjian ditandatangani, namun bantuan kepada kontraktor harus dipertimbangkan.

"Dalam perjanjian yang ditangani dahulu, jika kontraktor itu menerima kontrak berjumlah RM1 bilion, maka itulah jumlah yang harus dibayar oleh kerajaan.

"Ini bermakna jika berlaku kenaikan harga bahan binaan, ia hanya akan ditanggung oleh kontraktor, namun kita mempertimbangkan untuk meringankan beban yang sedang dihadapi oleh kontraktor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Jelajah FTRoadpedia Sarawak anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR)

di hentian Temudok, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, ketika projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak kini hanya berbaki 15 peratus, kontraktor kini sedang berdepan tekanan akibat kenaikan harga bahan binaan yang melonjak antara 15 hingga 30 peratus.

Memburukkan lagi keadaan katanya, mereka turut menghadapi kesulitan berikutan kekurangan bahan binaan seperti batu dan pasir berikutan ada kilang kuari yang sudah tidak beroperasi sepenuhnya, malah ada yang sudah ditutup.

Selain itu katanya, kapasiti pekerja projek mega itu kini pula hanya 70 peratus sahaja berbanding jumlah sebelum pandemik COVID-19 melanda.

Ia berikutan ramai pekerja asing khususnya dari Indonesia tidak balik semula ke Sarawak selepas mereka pulang ke negara asal ketika dilanda COVID-19.

"Inilah cabaran utama yang dihadapi kontraktor pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sekarang untuk menyiapkan sepenuhnya projek itu yang kini sudah mencapai 85 peratus siap.

"Walaupun kerajaan mempertimbangkan untuk membantu kontraktor, ia tidak akan menambah kos keseluruhan projek itu yang bernilai RM16 bilion," katanya.

Menurutnya lagi, projek berkenaan dijadualkan siap penghujung tahun ini namun ada beberapa Pakej Kontraktor Kerja (WPC) yang mengalami sedikit kelewatan dan dijangka siap tahun depan.

"Ia membabitkan WPC seperti di Bukit Begunan, Sri Aman yang menghadapi kesukaran berikutan keadaan tanah yang pelbagai," katanya.

Ketika ini, satu daripada sebelas WPC itu sudah siap sepenuhnya iaitu jajaran Sematan-Telok Melano.

Secara keseluruhannya, jarak Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dari Telok Melano ke Pujut Link Road di Miri adalah 786 kilometer.

Sementara itu, beliau berkata had kelajuan di lebuh raya pertama di Borneo itu dijangka dinaikkan daripada 90 kilometer sejam (kmj) ketika ini kepada 100 kmj pada masa depan.

Namun katanya, langkah keselamatan akan turut dipertingkatkan termasuk memasang kamera had laju sepanjang lebuh raya itu.

Berita Harian X