Isnin, 6 Jun 2022 | 7:06pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kes HFMD di Pulau Pinang terus meningkat

GEORGETOWN: Jumlah penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang terus mengalami peningkatan dengan kumulatif setakat Minggu Epid (ME) 21/2022 melaporkan sebanyak 3,012 kes berbanding hanya 144 kes pada tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin, berkata statistik itu menunjukkan bahawa berlaku peningkatan kes HFMD sebanyak 20 kali ganda.

Katanya, jumlah kluster juga turut menunjukkan peningkatan sebanyak 14 kali ganda iaitu 102 kluster berbanding hanya tujuh kluster yang dilaporkan tahun lalu pada tempoh sama.

"Mengikut laporan yang diterima kes HFMD dalam kalangan kanak-kanak berusia enam tahun iaitu sebanyak 2,744 kes (91.1 peratus), diikuti oleh kumpulan usia tujuh hingga 12 tahun iaitu 229 kes ( 7.5 peratus).

"Selebihnya adalah kumpulan berusia lebih 12 tahun iaitu 39 kes (1.4 peratus)," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, daerah Barat Daya merekodkan kes tertinggi iaitu 774 diikuti Seberang Perai Utara iaitu 632 kes, Seberang Perai Tengah (619 kes), Timur Laut (596 kes) dan Seberang Perai Selatan merekodkan sebanyak 391 kes.

Bulan lalu, media tempatan melaporkan hanya 959 kes HFMD di Pulau Pinang sejak Januari hingga 7 Mei lalu berbanding 102 kes dalam tempoh yang sama pada 2021 dengan terdapat 54 kluster.

Norlela turut menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko dijangkiti seperti basuh tangan dengan sabun dan mengekalkan kebersihan di rumah.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan ibu bapa untuk membawa anak-anak ke klinik atau hospital terdekat jika terdapat tanda-tanda atau gejala jangkitan dan mereka juga dinasihatkan tidak membawa anak-anak yang bergejala ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar dan pusat beli-belah.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sejumlah 71,471 kes HFMD pada ME20/2022 iaitu peningkatan 28 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dilaporkan berkata, peningkatan secara mendadak itu dilaporkan sejak Minggu Epid (ME) 20/2022.

Katanya, sebanyak 691 premis penjagaan kanak-kanak di seluruh negara ditutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) manakala 146 ditutup secara sukarela berikutan penularan HFMD.

Berita Harian X