Ahad, 5 Jun 2022 | 9:36pm
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. --fotoBERNAMA
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. --fotoBERNAMA

Bawa Malaysia kembali ke persada kejayaan - Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kerajaan dan semua pihak tanpa mengira fahaman politik, harus berusaha merencana pelan jangka panjang bagi membawa negara kembali ke persada kejayaan dalam era pascapandemik.

Al-Sultan Abdullah bertitah bagi menempuh gelora masa hadapan dalam era pascapandemik berkenaan, pengurusan negara memerlukan suatu rencana yang bitara, mencakupi pelbagai sektor dan aspek kehidupan.

"Pada masa sama, rakyat beta turut berperanan dalam mendokong usaha murni kerajaan disamping terus berusaha mendepani sebarang cabaran. Natijahnya, pemulihan negara memerlukan simbiosis yang erat antara kerajaan dan rakyat beta.

"Perpaduan dan kebersamaan dalam sebuah masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang, sebenarnya adalah resipi dan kekuatan membentuk aspirasi nasional. Ia adalah tiang kemakmuran negara dan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan," titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda hari ini.

Titah ucapan baginda berkenaan turut disiarkan secara langsung melalui televisyen tempatan, malam tadi.

Yang di-Pertuan Agong bertitah sektor ekonomi dan kehidupan seharian rakyat juga menampakkan pemulihan, bermula daripada pembukaan semula sempadan negara pada 1 April 2022 lalu dan baginda bersyukur kerana pandemik COVID-19 kian pulih, sekali gus rakyat berupaya kembali menikmati kehidupan seharian yang sebelum ini terjejas akibat pandemik itu.

Titah Al-Sultan Abdullah, pada hakikatnya bukanlah suatu perkara yang mudah untuk mengemudi negara keluar daripada kesan pandemik COVID-19.

Justeru, Seri Paduka mengajak seluruh rakyat negara ini untuk berganding bahu dalam kesepaduan yang erat ke arah membentuk Malaysia yang gemilang.

Yang di-Pertuan Agong bertitah pemulihan dan kebangkitan negara yang diimpikan tidak mungkin menjadi realiti, jika rakyat berpecah-belah dan gagal untuk mewujudkan landskap kehidupan yang stabil.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita semua perlu berganding bahu dan menggalas tanggungjawab masing-masing, ibarat kata pepatah 'ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni'," titah Seri Paduka.

Seri Paduka turut berpesan kepada rakyat untuk terus menyokong usaha-usaha dan dasar kerajaan agar program yang digubal, dapat dinikmati oleh semua orang.

Al-Sultan Abdullah juga mengajak pemimpin negara dan anggota perkhidmatan awam, untuk terus berkhidmat setulus hati dalam menentukan sosioekonomi rakyat baginda terus dilindungi dan dibantu demi kelangsungan hidup mereka.

Seri Paduka turut menzahirkan rasa gembira baginda melihat rakyat daripada berbilang bangsa dan agama, menyambut kedatangan 1 Syawal dengan suasana yang penuh kemeriahan dan kegembiraan.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih baginda berdua atas ucapan tahniah, ingatan dan doa, yang telah disembahkan yang menjadi kekuatan baginda terus memayungi negara dengan adil dan saksama.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan tahniah di atas pencapaian atlet negara dalam temasya Sukan SEA Ke-31 di Hanoi, Vietnam, baru-baru ini.

Mengakhiri titah, Yang di-Pertuan Agong merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan, anggota pentadbiran, penjawat awam dan anggota pasukan keselamatan yang menyumbang kepada kesejahteraan negara.

"Marilah sama-sama kita berdoa semoga rakyat Malaysia dan negara yang kita cintai ini akan terus kekal aman dan makmur, serta sentiasa berada di bawah perlindungan Allah Subhanahu wataala serta dijauhi daripada musibah dan bala bencana," titah Seri Paduka. - BERNAMA

Berita Harian X