Ahad, 5 Jun 2022 | 5:45pm
Benteng beg pasir diletakkan DBKL bagi menghalang limpahan air Sungai Gombak ketika hujan lebat di Jalan Batu Bata, Kuala Lumpur. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Benteng beg pasir diletakkan DBKL bagi menghalang limpahan air Sungai Gombak ketika hujan lebat di Jalan Batu Bata, Kuala Lumpur. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

DBKL tempatkan anggota di 24 hotspot banjir kilat

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menempatkan kakitangannya yang ditugaskan secara bergilir-gilir di 24 lokasi yang dikenal pasti sentiasa berlaku banjir banjir di sekitar ibu negara.

Melalui perkongsian di Facebook, DBKL memaklumkan kakitangan dari pelbagai jabatan itu ditempatkan di khemah yang disiapkan khas bermula jam 8 pagi hingga 10 malam setiap hari, dengan turut dibantu sukarelawan dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Turut dikongsikan pam air yang kini siap dipasang di 10 lokasi panas banjir kilat seperti diumumkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah sebelum ini.

Lokasi itu ialah di Bulatan Dato Onn, Lebuh Ampang, Jalan Rahmat, Kampung Periuk, Kampung Pasir, Lorong Abdul Samad, Taman Botani Perdana, Segambut Bahagia, Kampung Kasipillay dan berhampiran Balai Polis Brickfields.

Ia sebahagian daripada 26 unit pam air berkuasa tinggi yang diletakkan bagi tujuan menyedut air bertakung lebih pantas dan menyalurkannya ke sistem saliran berdekatan, seterusnya mengurangkan risiko kejadian banjir kilat.

"Ini antara usaha jangka pendek yang dibuat DBKL dan dalam masa sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim juga sudah mengumumkan pelan tindakan jangka panjang bagi menangani isu banjir kilat baru-baru ini," katanya.

Kakitangan Jabatan Perancangan Bandaraya DBKL bersiap sedia bagi sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat di bit hotspot banjir di Jalan Maarof di Kuala Lumpur. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Kakitangan Jabatan Perancangan Bandaraya DBKL bersiap sedia bagi sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat di bit hotspot banjir di Jalan Maarof di Kuala Lumpur. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Terdahulu Shahidan memaklumkan tiga pendekatan diguna pakai bagi menangani isu banjir iaitu jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Beliau berkata, pendekatan jangka pendek adalah membabitkan tindakan pengepaman air, pengawasan dan meletakkan beg pasir di kawasan terbabit dengan limpahan air sungai yang sudah dilaksanakan serta-merta.

Pembinaan kolam setempat untuk kawasan penduduk pula adalah pendekatan jangka masa sederhana, manakala pembinaan terowong simpanan air bawah tanah yang kini di peringkat tadbir urus adalah langkah jangka masa panjang.

Berita Harian X