Sabtu, 4 Jun 2022 | 11:39am

Rawatan penyakit HFMD bergantung tahap keseriusan pesakit

KOTA BHARU: Rawatan pesakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) adalah bergantung kepada tahap keseriusan pesakit dan tiada vaksin khusus untuk mencegah penyakit itu ketika ini.

Pakar Mikrobiologi Klinikal, Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nik Haszroel Hysham Nik Hashim berkata, bagi mereka yang mempunyai gejala ringan, rawatan yang diperlukan hanyalah berehat di rumah selain memastikan pengambilan air mencukupi.

Katanya, umum mengetahui bahawa HFMD boleh menjangkiti kanak-kanak khususnya yang berumur lima tahun ke bawah dan bagi kanak-kanak yang sudah dijangkiti adalah penting untuk ibu bapa atau penjaga melihat tanda amaran yang menandakan bahawa anak di bawah jagaan mereka mungkin perlu mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

"Tanda amaran ini termasuk demam tinggi melebihi 38.5 darjah celsius, demam berterusan melebihi 48 jam, pergerakan luar kawal, sawan dan dalam masa sama tanda-tanda berkenaan juga menunjukkan bahawa kemungkinan jangkitan sudah merebak ke sistem saraf dan pesakit mungkin mengalami komplikasi seperti aseptic meningitis dan encephalitis.

"Kebanyakan pesakit HFMD akan mengalami gejala ringan seperti demam yang diikuti ruam berisi air (vesicle) pada tangan, kaki, mulut dan lidah selain kurang selera makan kerana rasa sakit tekak yang dialami," katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau juga berkata, kajian juga mendapati bahawa virus itu boleh hidup di atas permukaan objek sehingga tiga hari, selain boleh tersebar oleh titisan (droplet) dari mulut sewaktu kanak-kanak batuk dan juga melalui najis pesakit dimana virus ini boleh didapati dalam najis pesakit sehingga tiga minggu lepas jangkitan.

"Dalam masa sama, penyakit HFMD juga boleh merebak melalui sentuhan apabila tangan pesakit menyentuh kanak-kanak lain, maka virus ini boleh berpindah kepada kanak-kanak yang disentuh, selain merebak melalui permukaan objek dan barang-barang peribadi yang disentuh oleh pesakit," katanya.

Beliau berkata, penekanan terhadap cucian tangan dengan sabun perlu dititikberatkan terutamanya selepas menukar lampin pesakit selain persekitaran pesakit dan permukaan objek serta barang-barang peribadi yang disentuh oleh pesakit termasuk memastikan lampin pakai buang diuruskan dengan betul dan tidak dibuang merata-rata," katanya.

Katanya, adalah sangat penting bagi semua penjaga melakukan kuarantin di rumah apabila terdapat tanda-tanda sebegini pada anak mereka.

"Ini disebabkan kebanyakan kes yang berlaku tersebar dengan cepat akibat kecuaian ibu bapa atau penjaga yang tetap menghantar anak mereka ke tadika atau rumah pengasuh walaupun bergejala.

"Jika hal ini berlaku, tadika atau taska terbabit perlu menjalani proses dekontaminasi dengan bahan disinfektan berasaskan klorin bagi mengelak jangkitan berlaku dalam kalangan kanak-kanak lain di pusat jagaan berkenaan," katanya.

Berita Harian X