Jumaat, 3 Jun 2022 | 6:57pm

Pelajar Malaysia terima anugerah Donald Janssen Dike di AS

KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia, Aini Asyikin Norazman berjaya mendapat tempat pertama dan menerima 'The Donald Janssen Dike Award for Excellence in Undergraduate Research' melalui kajiannya yang bertajuk 'Automated Defect Detection: An end-to-end Pipeline From Data to Deployment'.

Atas kejayaaan itu, Aini Asyikin yang juga pelajar Princeton University, New Jersey menerima wang tunai berjumlah ASD$2,000 (RM8,778).

Melalui kajian itu, Aini Asyikin yang juga bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Kelantan, berjaya mencari penyelesaian terhadap permasalahan di bidang industri pembuatan kepada penggunaan teknik yang boleh menjimatkan masa dan kos kepakaran dalam mengesan sesuatu kerosakan.

Susulan kejayaan itu, nama Aini Asyikim turut dicalonkan untuk berada dalam Sigma Xi iaitu sebuah pertubuhan profesional antarabangsa yang terbabit dalam pelbagai displin kajian sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Terdapat lebih 200 penerima anugerah Nobel dunia adalah ahli kepada Sigma Xi, antaranya ahli fizik, Albert Einstein; pencipta reaktor nuklear pertama, Enrico Fermi; ahli biokimia, Linus Pualing; ahli biolologi molekul DNA, Francis Crick dan saintis John Goodenough.

Beliau mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal bermula Ogos 2017 di Princeton University, New Jersey yang juga sebuah Universiti dalam Ivy League.

Aini Asyikin adalah penerima Anugerah Biasiswa Perdana yang melayakkan beliau membuat persediaan ke luar negara di bawah United World College bertempat di IB World School, Las Vegas, New Mexico.

Sementara itu, Majlis Amanah Rakyat (MARA) Amerika Syarikat (AS) merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah atas kejayaan Aini.

"Semoga kejayaan beliau memberi inspirasi kepada seluruh pelajar di bawah Institusi Pendidikan MARA (IPMA)," katanya.

Berita Harian X