Jumaat, 3 Jun 2022 | 4:07pm
Saravanan (tiga dari kiri) melancarkan Kempen Mencarum PERKESO untuk sukarelawan ATM, PDRM, APM, APMM, RELA, JAKIM dan JKM di Hotel Royale Chulan KL. - Foto NSTP/Rohanis Shukri
Saravanan (tiga dari kiri) melancarkan Kempen Mencarum PERKESO untuk sukarelawan ATM, PDRM, APM, APMM, RELA, JAKIM dan JKM di Hotel Royale Chulan KL. - Foto NSTP/Rohanis Shukri

50,496 sukarelawan agensi kerajaan carum PERKESO

KUALA LUMPUR: Seramai 50,496 sukarelawan daripada tujuh agensi kerajaan telah mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Khidmat.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata jumlah itu dicatatkan setakat 1 Jun lalu, selepas skim itu mula dibuka pada 1 Januari tahun ini.

Menerusi Bajet 2022, katanya, tujuh agensi disenaraikan di bawah SPS Khidmat iaituAngkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Bagi inisiatif ini, kerajaan menyasarkan lebih 100,000 anggota sukarelawan agensi berkenaan mendapat manfaat sehingga permohonan ditutup pada akhir tahun ini.

"Justeru, menerusi Kempen Mencarum PERKESO Sukarelawan ini, usaha untuk memperluaskan lagi perlindungan PERKESO kepada sukarelawan daripada pelbagai agensiakan dapat dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Kempen Mencarum PERKESO Untuk Sukarelawan ATM, PDRM, APMM, APM, RELA, JAKIM dan JKM di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saravanan memaklumkan inisiatif SPS Khidmat menyasarkan caruman dalam kalangan empat kumpulan orang bekerja sendiri (OBS), iaitu sukarelawan agensi kerajaan, pekhidmat rumah ibadat Islam, penyelia dan petugas pemulihan komuniti dan penjawat awam berstatus kontrak untuk perkhidmatan.

"Caruman ini penting untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial kepada mereka, memandangkan tugas sukarelawan sekarang turut berdepan risiko dan cabaran.

"Lebih penting, caruman mereka untuk tahun ini disumbangkan sepenuhnya daripada kerajaan. Untuk tahun depan, Kementerian Sumber Manusia akan mohon daripada kerajaan, dan kita lihat kedudukan ekonomi negara," katanya.

Dalam pada itu, Saravanan memaklumkan sejumlah 130,000 daripada sekitar 400,000 pekerja dalam ekonomi gig sudah mencarum dengan PERKESO setakat ini, manakala jumlah pampasan berkaitan COVID-19 yang sudah dibayar mencecah lebih RM174 juta.

Berita Harian X