Selasa, 31 Mei 2022 | 1:55pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - BERNAMA

PRU15 perlu tunggu waktu sesuai - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendapat sekarang bukan masa sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika negara berdepan pelbagai isu seperti kenaikan kos sara hidup dan kadar inflasi yang tinggi.

Dalam temubual eksklusif bersama akhbar Nikkei berpangkalan di Jepun, iaitu akhbar kewangan terbesar dunia dengan pengedaran melebihi tiga juta sehari, Perdana Menteri berkata, kenaikan harga makanan dan kos sara hidup antara sebab beliau memerlukan masa di sebalik spekulasi kuat PRU-15 dijangka diadakan sebelum akhir tahun ini.

"Kita perlu menunggu masa sesuai (untuk membubarkan Parlimen). Kita kini menghadapi tempoh inflasi yang meningkat dengan harga (barangan) yang tinggi... adakah anda fikir ini masa yang sesuai (untuk pilihan raya)?" katanya ketika ditemubual di luar persidangan Nikkei's Future of Asia di Tokyo, minggu lalu. Temubual itu disiarkan media itu semalam.

PRU sepatutnya perlu dipanggil menjelang September tahun depan.

Mengenai ada laporan pemimpin dalam UMNO, parti disertai Ismail Sabri sendiri menggesa PRU15 disegerakan, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden parti itu berkata, pilihan raya tidak sepatutnya diadakan sehingga negara dapat mengekang inflasi, didorong sebahagiannya oleh kesan global perang di Ukraine.

Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan inflasi secara purata antara 2.2 dan 3.2 peratus untuk tahun ini.

Sejak beberapa bulan lalu, negara turut menghadapi krisis makanan, khususnya bekalan ayam yang menyebabkan harga meningkat melebihi harga kawalan ditetapkan kerajaan.

BH semalam turut melaporkan harga beberapa jenis sayuran turut meningkat tiga kali ganda disebabkan pengurangan hasil sehingga 50 peratus akibat kekurangan pekerja, selain cuaca tidak menentu.

Ditanya mengenai desakan supaya disegerakan PRU-15, Ismail Sabri menjelaskan pilihan raya tidak boleh ditangguhkan lebih jauh daripada garis masa ditetapkan dalam Perlembagaan, namun untuk diadakan lebih awal perlu melihat keadaan semasa.

"Insya Allah, saya akan lakukannya (umum tarikh PRU-15) pada masa yang sesuai," katanya ketika ditanya mengenai garis masa bila pilihan raya umum akan diadakan.

Ismail Sabri menegaskan, selaku 'orang parti' beliau juga perlu mematuhi keputusan UMNO dan Kabinet, di mana di bawah Perlembagaan, Kabinet mesti meluluskan keputusan untuk menasihati Raja bagi membubarkan Parlimen.

Beliau berkata, UMNO sendiri harus melihat keadaan semasa negara khususnya berhubung kenaikan harga makanan dan kos sara hidup sebelum bergegas menganjurkan pilihan raya.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri ketiga negara sejak PRU-14 pada 2018 mengakui kerajaan turut mempertimbangkan beberapa tindakan ekonomi yang mungkin dilihat pengguna sebagai menambah beban kos sara hidup mereka, iaitu memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).

"Kerajaan berminat mengembalikan GST kerana mahu mengembangkan asas pendapatannya dan menanggung beban subsidi awam," katanya.

Malaysia beralih kepada rejim GST semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada April 2015, namun kadar enam peratus dikritik hebat pembangkang dan kumpulan pengguna, sekali gus dikatakan antara penyumbang kepada kekalahan parti itu dalam PRU-14.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih pentadbiran selepas PH menerajui kerajaan, membatalkan GST sebagai memenuhi janji pilihan raya dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Ismail Sabri berkata, kerajaan sedar mengenai persepsi negatif terhadap GST, tetapi mempunyai pilihan terhad untuk menambah tabungan kerajaan persekutuan.

"Kami kehilangan RM20 bilion (kira-kira AS$4.6 bilion) hasil tahunan apabila GST dimansuhkan dan menggantikannya dengan SST.

"Tiada negara di dunia yang kembali daripada GST kepada SST, kecuali Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan merangka cara untuk mendidik orang ramai mengenai kepentingan GST dan kutipan cukai yang telus.

"Jika kita mahu memperkenalkan semula GST, kita perlu mendidik rakyat untuk menerimanya," katanya menambah kerajaan akan mensasarkan untuk kadar tidak terlalu tinggi sehingga membebankan rakyat, tetapi tidak terlalu rendah sehingga menggagalkan tujuan mengembangkan hasil cukai.

BNM baru-baru ini menyokong idea mengembalikan semula GST, kerana dengan berbuat demikian akan meringankan beban kewangan ditanggung kerajaan.

Pencerobohan Russia ke atas Ukraine menaikkan harga bahan api dan barangan keperluan makanan import, dan berkemungkinan menjejaskan kewangan kerajaan serta meningkatkan keperluan untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan.

Jumlah bil subsidi bahan api kerajaan dijangka RM28 bilion (AS$6.4 bilion) untuk tahun ini, peningkatan mendadak daripada hanya RM11 bilion pada 2021 berikutan kenaikan mendadak harga bahan api global.

Harga minyak mentah dunia melonjak kelmarin selepas Kesatuan Eropah mencapai persetujuan untuk menyekat import Russia sebagai sebahagian hukuman terhadap pencerobohannya ke atas Ukraine. Harga minyak mentah Brent berada di atas AS$122 setong buat kali pertama dalam tempoh dua bulan.

Selain petrol dan diesel, kerajaan juga memberi subsidi untuk minyak masak, gula, tepung dan gas asli cecair.

Mengulasnya mengenainya, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedang mengusahakan program rasionalisasi subsidi bertujuan menyediakan bantuan disasarkan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, dengan pelan komprehensif akan dikemukakan kepada Kabinet untuk pertimbangan dalam tempoh terdekat.

Berita Harian X