Selasa, 31 Mei 2022 | 12:22pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kerja kosong melonjak lebih 76 peratus suku pertama tahun ini

KUALA LUMPUR: Kekosongan jawatan yang diiklankan secara dalam talian, melonjak kepada 159,148 atau 76.4 peratus bagi suku pertama tahun 2022, berbanding tahun 2021.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata berdasarkan penawaran jawatan kosong mengikut negeri pada suku pertama 2022, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan jumlah kekosongan pekerjaan tertinggi pada 42.7 peratus diikuti Selangor (16.9 peratus), Johor (7.3 peratus), Pulau Pinang (3.9 peratus) dan Melaka (1.7 peratus).

Katanya, bulan Februari mencatatkan iklan tertinggi iaitu sebanyak 67,172 kekosongan, manakala bagi bulan Januari dan Mac, masing-masing berjumlah 48,924 dan 43,052 kekosongan.

"Sebahagian besar majikan memerlukan pekerja dalam kategori profesional (44.9 peratus) diikuti juruteknik dan profesional bersekutu (17.7 peratus) dan pengurus (11.3 peratus).

"Mengikut susunan, lima pekerjaan paling popular yang ditawarkan dalam tempoh rujukan adalah profesional pengiklanan dan pemasaran, profesional bersekutu pentadbiran, pengarah urusan dan ketua eksekutif, akauntan dan juruaudit dan pembangun perisian," katanya dalam satu kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Data itu diperoleh menerusi Analisis Data Raya Job Market Insights dan My Job Profile: Lanskap Penawaran Pekerjaan di Malaysia, bagi suku pertama 2022 yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Jelasnya lagi, daripada perspektif ekonomi pula, sektor perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal menjadi sektor utama yang menyumbang kepada penawaran pekerjaan bagi pencari kerja pada suku pertama 2022.

"Manakala, empat lagi sektor dengan penawaran pekerjaan tertinggi adalah sektor pembuatan; aktiviti profesional, teknikal dan saintifik; aktiviti kewangan dan insuran takaful serta aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman.

"Analisis terhadap jumlah kekosongan jawatan diiklankan dalam talian pada suku pertama 2022 secara keseluruhannya menunjukkan ekonomi masih dalam tempoh pemulihan selaras dengan peralihan fasa pandemik kepada endemik.

"Dengan peralihan fasa ini, semua sektor ekonomi dan sempadan negara telah dibuka secara berperingkat dan diharapkan dapat mengurangkan impak pandemik, memulihkan ekonomi negara dan seterusnya mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk diisi oleh pencari kerja," katanya.

Sementara itu, bagi mendapatkan maklumat lanjut, pencari kerja boleh mendapatkan informasi perincian mengenai penawaran pekerjaan diiklankan dalam talian di negara ini melalui laman sesawang www.dosm.gov.my/bda-jmi dan myjobprofile.dosm.gov.my.

Dalam pada itu, DOSM sedang menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 bermula dari 1 Januari sehingga 31 Disember 2022 dan Survei Ekonomi Tahunan 2022 (AES 2022) bermula 15 April sehingga 30 September 2022.

DOSM amat menghargai kerjasama daripada responden yang terpilih untuk memberikan maklumat kepada DOSM serta menjayakan survei ini. Sila layari www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut.

Berita Harian X