Ahad, 29 Mei 2022 | 5:51pm

'Azmin sangkal akan tinggalkan BERSATU'

KUALA TERENGGANU: Tidak ada tanda Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengikut jejak Datuk Zuraida Kamaruddin untuk meninggalkan BERSATU.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Senator Datuk Razali Idris, berkata beliau sendiri menghubungi Azmin dan menteri berkenaan menafikan perkara itu akan berlaku atau menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

"Saya sudah menghubungi dan bercakap panjang lebar mengenai dua dakwaan itu dan Azmin menafikan akan ikuti jejak Zuraida untuk meninggalkan BERSATU dan menyertai PBM.

"Kita juga turut menafikan dakwaan ramai ahli MPT akan melepaskan jawatan untuk bersama Zuraida dalam PBM," katanya kepada media ketika ditemui pada majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri BERSATU negeri, di sini, hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid serta pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri dan seluruh pimpinan tertinggi parti serta Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu, Khairul Azlan Mohamad turut memotong kek meraikan Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022.

Mengulas lanjut, Razali mengesahkan kali terakhir menghubungi Azmin menjemputnya ke majlis rumah terbuka Aidilfitri BERSATU negeri Jumaat lalu.

Katanya, Azmin menafikan dakwaan untuk meninggalkan BERSATU dan mengikuti jejak Zuraida menyertai PBM.

"Setakat ini kita mengesahkan hanya Zuraida meninggalkan parti dan tiada satu pun cawangan BERSATU di Kedah dibubarkan seperti didakwa Ahli Parlimen Ampang itu.

"Kita bagi pihak seluruh badan pimpinan BERSATU negeri mengucapkan tahniah kepada Zuraida kerana bertindak awal menghantar surat memohon meninggalkan parti," katanya.

Razali berkata, sepatutnya Lembaga Tindakan Tatatertib BERSATU menghantar surat pemecatan Zuraida selepas didapati tidak menghadiri mesyuarat MT melebihi lima kali dan mula berjinak dengan PBM sejak lebih enam bulan lalu.

"AMT BERSATU sudah mengemukakan usul agar Zuraida dipecat daripada parti, tetapi Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta lembaga disiplin menghantar surat tunjuk sebab selepas gagal hadir mesyuarat tanpa sebab melebihi lima kali," katanya.

Ketika mengulas dakwaan Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mengatakan BERSATU semakin lemah susulan Zuraida meninggalkan parti, Razali meminta Ahli Parlimen Pontian itu tidak bersikap celupar.

Katanya, Ahmad (Maslan) diminta tidak mencampuri urusan BERSATU, sebaliknya memberi tumpuan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang semakin bercelaru.

Razali (empat dari kanan) dan Khairul (lima dari kanan) memotong kek sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022, pada majlis rumah terbuka Aidilfitri BERSATU negeri - Foto NSTP/Baharom Bakar
Razali (empat dari kanan) dan Khairul (lima dari kanan) memotong kek sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022, pada majlis rumah terbuka Aidilfitri BERSATU negeri - Foto NSTP/Baharom Bakar
Berita Harian X