Ahad, 29 Mei 2022 | 2:32pm

Agenda negara menua hadapi fenomena penuaan menjelang 2030

JELI: Kerajaan membuat persediaan terperinci dalam berdepan fenomena penuaan yang semakin meningkat di negara ini dengan mewujudkan agenda negara menua menerusi perancangan pembangunan sosioekonomi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata berdasarkan bancian dalam tempoh 10 tahun bermula 2010 hingga 2020, fenomena penuaan meningkat kepada 6.8 peratus berbanding lima peratus.

Beliau berkata, dengan peningkatan peratusan kelompok berusia 65 tahun ke atas itu bakal menjadikan Malaysia negara tua menjelang 2030.

"Penuaan penduduk adalah trend global masa kini yang berlaku disebabkan peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kesuburan.

"Impak negara menua merentasi pelbagai sektor dan bukan hanya tertumpu kepada penjagaan serta kebajikan warga emas sahaja sebaliknya merangkumi aspek cabaran dalam kesihatan, pendidikan, kewangan, produktiviti dan guna tenaga buruh selain penggunaan teknologi yang akan menentukan pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang mampan.

"Oleh itu, Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebagai agensi pusat yang bertanggungjawab ke atas perancangan pembangunan sosioekonomi negara jangka sederhana dan panjang untuk mewujudkan sebuah agenda negara menua," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah penduduk Malaysia pada 2020 ialah 32.4 juta berbanding 27.5 juta pada 2010 dan penemuan utama mengikut daerah pentadbiran merekodkan bilangan penduduk tertinggi adalah di daerah Petaling, Selangor (2.3 juta) diikuti Johor Bahru, Johor (1.7 juta).

Negeri Perak mencatatkan peratusan penduduk tua tertinggi dengan 8.9 peratus penduduknya melebihi 65 tahun pada 2020 diikuti Perlis serta Kedah masing-masing merekodkan 7.9 peratus.

Jelasnya lagi, gerak kerja agenda persediaan itu akan disokong oleh beberapa kementerian berkaitan serta semua pihak berkepentingan selaras dengan pendekatan keseluruhan negara.

"Tujuan agenda ini adalah untuk memantapkan lagi persediaan negara dalam menghadapi negara menua menjelang 2030 secara menyeluruh," katanya.

Terdahulu beliau yang juga Ahli Parlimen Jeli hadir di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Jeli dan menyempurnakan pelancaran Penerbitan Statistik Subnasional DUN & Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020: Daerah Pentadbiran.

Yang turut hadir Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci 2020, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed melihat buku penerbitan mengenai Statistik Subnasional DUN & Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020: Daerah Pentadbiran di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Jeli. - Foto NSTP/Siti Rohana Idris
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed melihat buku penerbitan mengenai Statistik Subnasional DUN & Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020: Daerah Pentadbiran di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Jeli. - Foto NSTP/Siti Rohana Idris
Berita Harian X