Sabtu, 28 Mei 2022 | 7:56pm
 Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah (dua kiri) merasmikan kempen Jom Makan Ikan Air Tawar di Pasaraya Lotus’s Ampang. - Foto NSTP/Aziah Azmee
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah (dua kiri) merasmikan kempen Jom Makan Ikan Air Tawar di Pasaraya Lotus’s Ampang. - Foto NSTP/Aziah Azmee

Sasaran 40 peratus hasil akuakultur menjelang 2030

AMPANG: Sasaran 40 peratus hasil sektor akuakultur menjelang 2030 dijangka mampu mengatasi kekurangan bekalan ikan negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata sasaran itu juga membantu mengimbangi keperluan perikanan negara ini.

"Pada tahun lalu, subsektor akuakultur mencatatkan pengeluaran sebanyak 400,000 tan yang bernilai RM3.6 bilion iaitu 22 peratus pengeluaran ikan negara.

"Melihat kepada pencapaian itu, sektor akuakultur memainkan peranan penting dari tiga sudut, iaitu sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara, strategi membasmi kemiskinan dan sebagai sumber utama makanan yang menjadi keperluan penduduk negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Program Jelajah Perikanan Jom Makan Ikan Air Tawar peringkat Selangor di Pasaraya Lotus's Ampang, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Perikanan, Mohd Sufian Sulaiman dan Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar dan Presiden Lotus's, Kenneth Chuah.

Ahmad berkata, pengeluaran ikan marin banyak dipengaruhi perubahan cuaca seperti fenomena El Nino dan sebagainya.

"Jadi sasaran 40 peratus itu akan dicapai kerana kerajaan sudah memberikan pelbagai insentif, bantuan peralatan serta bantuan lain untuk menggalakkan aktiviti subsektor perikanan.

"Pada ketika ini permintaan begitu tinggi dan dengan usaha yang digerakkan penternak kempen makan ikan air tawar akan mendapat sambutan daripada pengguna," katanya.

Dalam pada itu, katanya tahap sara diri (SSL) negara ini adalah 96 peratus dan selebihnya, negara terpaksa bergantung kepada import.

"Sebab itulah kita menjalankan pelbagai program untuk membantu meningkatkannya. Selain daripada perikanan, kita juga menggalakkan penternakan udang, ternakan rumpai laut kerana ia satu daripada cabang perikanan yang menjadi kegemaran atau pilihan pengguna," katanya.

Sementara itu, Mohd Sufian berkata, industri perikanan komersil mula diperkenalkan dalam 1960-an.

"Stok perikanan negara pada masa itu dilaporkan berada pada tahap 2,000 kilogram (kg).

"Namun, kemajuan teknologi perikanan serta ancaman seperti kemerosotan ekosistem air tawar dan marin akibat pembangunan dan pencemaran serta ancaman semula jadi menyebabkan kemerosotan sumber perikanan negara apabila pada 2010-an, dengan stok perikanan negara dilaporkan hanya pada tahap 200kg.

"Selaku agensi kerajaan yang mempelopori industri perikanan di negara ini, Jabatan Perikanan amat memandang serius terhadap isu kemerosotan sumber perikanan yang dihadapi di negara ini," katanya.

Katanya, sebagai langkah membanteras perkara itu daripada menjadi lebih kritikal, ternakan akuakultur mula diperkenalkan di Malaysia bermula 1930-an.

"Akuakultur menurut Akta Perikanan 1985 bermaksud pembiakan benih ikan atau pemeliharaan biak ikan melalui perusahaan ternak keseluruhan atau sebahagian daripada peredaran hidupnya.

"Ternakan ini membabitkan sistem ternakan kolam, sangkar, tangki simen, tangki kanvas, bekas lombong dan banyak lagi manakala penternakan akuakultur adalah satu kaedah alternatif bagi menjamin bekalan ikan negara sentiasa berterusan," katanya.

Menurutnya, spesies ikan akuakultur air tawar utama ialah ikan keli, tilapia merah, keli, patin dan udang galah.

"Pengeluaran ikan keli, tilapia merah, patin, tilapia hitam dan udang galah masing-masing adalah sebanyak 29,000 tan, 28,000 tan, 18,000 tan, 3,000 tan dan 190 tan.

"Manakala dari segi nilai pula masing-masing bernilai RM129,000, RM290,000, RM132,000, RM29,000 dan RM12,000," katanya.

Katanya, berdasarkan laporan data perangkaan Jabatan Perikanan 2020, seramai 528 penternak akuakultur air tawar dan payau dan 179 orang daripadanya adalah penternak akuakultur air tawar dengan jumlah keluasan ternakan sebanyak 66,293.43 hektar.

Berita Harian X