Sabtu, 28 Mei 2022 | 6:35pm

SICHMA sahkan loji penyembelihan TFI langgar protokol halal

TAIPING: Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) hari ini mengesahkan hasil audit mengejut pihaknya mendapati loji sembelihan Thomas Food Industries (TFI) di Australia melanggar protokol halal dalam proses penyembelihan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata SICHMA selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan, mengesahkan perkara itu selepas badan terbabit menjalankan audit mengejut pada 23 Mei lalu.

"Sebelum perkara itu disahkan SICHMA, kita pada 13 Mei lalu telah pun membatalkan dan menghentikan loji penyembelihan terbabit.

"Sebaik sahaja disahkan hari ini, semua produk keluaran loji itu tidak lagi akan terima atau dibawa masuk ke pasaran Malaysia.

"Berhubung dengan produk dari loji yang masih berada di pasaran, kita serah sepenuhnya kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Hari Raya Asnaf QSR-SPE di sini, hari ini.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menghantar pasukan untuk melakukan pengesahan audit halal di SICHMA dan loji penyembelihan yang membekalkan daging ke pasaran Malaysia dalam masa terdekat.

Beliau berkata JAKIM tidak akan berkompromi dan memandang serius isu pensijilan halal dan sekiranya terdapat maklumat yang dilaporkan maka pihaknya akan menjalankan siasatan segera.

Idris menyampaikan bantuan kepada asnaf pada program Hari Raya Asnaf QSR-SPE hari ini. - Foto NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Idris menyampaikan bantuan kepada asnaf pada program Hari Raya Asnaf QSR-SPE hari ini. - Foto NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Berita Harian X