Sabtu, 28 Mei 2022 | 4:17pm
Sukar untuk melihat Ahli Parlimen Sarawak meninggalkan parti masing-masing untuk menyertai PBM yang disifatkan antara parti politik paling lemah buat masa ini, kata penganalisis. - Foto hiasan
Sukar untuk melihat Ahli Parlimen Sarawak meninggalkan parti masing-masing untuk menyertai PBM yang disifatkan antara parti politik paling lemah buat masa ini, kata penganalisis. - Foto hiasan

Sukar Ahli Parlimen Sarawak sertai PBM

KUALA LUMPUR: Kemungkinan untuk mana-mana Ahli Parlimen Sarawak menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dilihat tipis, kata penganalisis politik Dr Jeniri Amir.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara itu berkata, sukar untuk melihat Ahli Parlimen negeri itu meninggalkan parti masing-masing untuk menyertai PBM yang disifatkan antara parti politik paling lemah buat masa ini.

Sekiranya ada yang bakal menyertai PBM, Jeniri menjangkakan mereka adalah dalam kalangan bekas pemimpin dan ahli PKR.

"Jika ada, besar kemungkinan adalah bekas PKR. Tetapi, kebanyakan bekas pemimpin PKR di Sarawak sudah menyertai BERSATU, jadi kemungkinan besar mereka tidak akan melompat lagi.

"Malah, kedudukan parti ini antara yang paling lemah dan berada di bawah Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), dan berkemungkinan besar tidak memberi kesan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, akhbar BH hari ini melaporkan Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad berkata beberapa Ahli Parlimen dijangka mengikut jejak langkah Datuk Zuraida Kamaruddin menyertai PBM dalam tempoh terdekat.

Nor Hizwan memaklumkan sekurang-kurangnya dua lagi Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak akan menyertai parti itu, yang kini dipimpin Ahli Parlimen Julau yang juga bekas Pengerusi PKR Sarawak, Larry Sng.

Kelmarin, Zuraida dalam satu kenyataan memaklumkan akan meletakkan jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar daripada BERSATU untuk menyertai PBM.

Ahli Parlimen Ampang itu memaklumkan akan bertemu dengan Ismail Sabri dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatan berkenaan.

Mengulas lanjut, Jeniri berpandangan strategi PBM ketika ini adalah untuk menarik pemimpin yang sudah ada nama, selain berkemungkinan besar berusaha menjalin kerjasama dengan parti besar untuk bertanding dalam PRU-15.

Katanya, PBM dilihat cenderung untuk menjalin hubungan dengan Barisan Nasional (BN) kerana kerjasama itu dilihat lebih menguntungkan parti itu, khususnya dari segi peluang untuk menang beberapa kerusi dalam PRU-15.

Selain itu, PBM juga sukar untuk menjalin hubungan dengan parti pembangkang, khususnya Pakatan Harapan (PH) kerana kebanyakan pemimpin parti itu adalah bekas ahli PKR.

"Dalam konteks Sarawak, kerjasama dengan BN akan menguntungkan PBM, khususnya untuk Larry, kerana mereka tidak perlu bersaing dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang pastinya akan meletakkan calon di semua 31 kerusi dalam PRU-15.

"Jika tidak bekerjasama dengan BN, maka Larry dan pemimpin PBM Sarawak perlu menentang GPS dan PH, di mana peluang untuk mereka menang adalah amat tipis.

"BN pula dilihat tidak akan menutup pintu rundingan kerana PBM mungkin boleh menyumbang sejumlah kecil kerusi, yang mana penting dalam situasi majoriti kecil diperoleh dalam PRU-15," katanya.

Berita Harian X