KUALA LUMPUR: Lebih 20,000 orang menghadiri jamuan Hari Raya Aidilfitri@Dataran Merdeka yang diadakan bermula jam 10 pagi hingga 2 petang hari ini.
Majlis dianjurkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan 120 masjid dan surau Jumaat terpilih di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, menyediakan pelbagai juadah termasuk ketupat, lemang, nasi briyani, kambing golek untuk tetamu.
Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata masjid dan surau Jumaat terpilih menyediakan gerai jamuan masing-masing dalam menyantuni tetamu dan menjamu hidangan secara percuma kepada masyarakat dari pelbagai latar belakang, bangsa dan agama.
Katanya, konsep yang sama julung kali diadakan pada 2019 membabitkan 70 gerai sehingga tersenarai dalam The Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori Penganjuran Masjid Paling Banyak Dalam Acara Rumah Terbuka Hari Raya.
Orang ramai yang hadir di Majlis Sambutan Aidilfitri@Dataran Merdeka anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). - Foto NSTP/Fathil Asri pic.twitter.com/zHH7DUvjAC
— Berita Harian (@bharianmy) May 28, 2022
"Objektif utama Aidilfitri@Dataran Merdeka adalah untuk menjalin silaturahim dalam kalangan Keluarga Malaysia khususnya masyarakat sekitar Wilayah Persekutuan. Program ini juga diharap dapat membentuk semangat kerjasama dan persaudaraan dalam kalangan jawatankuasa masjid di Wilayah Persekutuan.
"Ia juga diharap dapat menyemai sifat cakna dan prihatin terhadap golongan yang kurang berkemampuan serta memasyarakatkan dan mempromosi masjid di Wilayah Persekutuan sebagai pusat penyatuan ummah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berkenaan yang disempurnakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.
Mohd Ajib berkata, selain jamuan Hari Raya, beberapa aktiviti turut diadakan termasuk persembahan istimewa kumpulan nasyid Rabbani dan sumbangan duit raya berjumlah keseluruhan RM35,000 kepada 616 penerima terdiri daripada anak-anak yatim, asnaf, pelajar tahfiz serta kanak-kanak.
"Turut disumbangkan adalah 1,700 naskhah waqaf al-Quran kepada masjid, surau dan sekolah tahfiz sekitar Mentakab, Pahang; Kuala Terengganu dan Taman Sri Muda, Shah Alam," katanya.