Sabtu, 28 Mei 2022 | 2:51pm
Datuk Wan Saiful Wan Jan (kiri) dan Datuk Zuraida Kamaruddin.
Datuk Wan Saiful Wan Jan (kiri) dan Datuk Zuraida Kamaruddin.

'Belum dengar ada lagi Ahli Parlimen BERSATU tinggalkan parti'

KUALA LUMPUR: BERSATU belum menerima sebarang makluman daripada Ahli Parlimennya yang lain kemungkinan ada yang akan meninggalkan parti itu untuk menyertai parti lain.

Ia susulan desas desus kononnya keputusan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin meninggalkan BERSATU untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan diikuti beberapa pemimpin BERSATU lain.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata setakat ini belum mendengar kononnya akan ada lagi Ahli Parlimen BERSATU keluar parti.

"Saya belum dengar Ahli Parlimen dari mana-mana parti yang akan menyertai PBM dan saya nak tunggu dan lihat kalau betul-betul berlaku dulu. Saya tak suka komen atas spekulasi.

"Sebab itulah komen saya berbentuk umum tanpa merujuk khusus kepada mana-mana parti dan saya tak ada dengar pula ada Ahli Parlimen BERSATU (yang lain) keluar," katanya di Facebook beliau hari ini.

Wan Saiful menjawab kekeliruan dalam laporan media kononnya beliau mengesahkan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar akan menyertai PBM.

Sebaliknya, beliau menegaskan kenyataan itu adalah salah dan berharap supaya petikan kenyataannya sebelum ini seharusnya dibuat dengan tepat, merujuk apa yang disebutnya.

Xavier seperti dipetik laporan media menafikan dakwaan beliau sudah mengikut jejak langkah Zuraida yang juga Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi untuk menyertai PBM.

Wan Saiful turut mengesahkan Xavier ketika ini bukannya ahli BERSATU.

"Saya juga sudah semak dan nama YB Xavier tiada dalam daftar keahlian BERSATU," katanya.

Zuraida dalam kenyataan medianya sebelum ini mengumumkan akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung hasratnya meletak jawatan Kabinet susulan keputusannya keluar BERSATU dan menyertai PBM.

Ketika ini, PBM bukan parti gabungan dalam kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS), namun beberapa Ahli Parlimen dalam PBM sebelum ini menyatakan sokongannya kepada kerajaan sedia ada.

Berita Harian X