Jumaat, 27 Mei 2022 | 11:55pm

Operasi besar-besaran buru 60 pelarian Rohingya lolos

KLANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memburu 60 pelarian etnik Rohingya yang lolos dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Relau di Sungai Bakap, Kedah melalui operasi besar-besaran di seluruh negara.

Menteri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata Jabatan Imigresen diarahkan untuk terus mengadakan operasi sedemikian di lokasi dan penempatan warga Rohingya seperti di pasar borong.

Katanya, KDN tidak akan berdiam diri dan membiarkan mereka terlepas serta bebas dalam negara ini.

"Ini (operasi) akan memberi peringatan kepada rakan mereka supaya tidak sewenang-wenangnya melindungi 60 pelarian itu.

"Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya mereka ini dilindungi," katanya dalam operasi khas Jabatan Imigresen di Pasar Besar Meru, malam ini.

Pada 20 April lalu, seramai 528 pelarian Rohingya melarikan diri dari depot tahanan sementara berkenaan selepas memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang kira-kira jam 4.30 pagi.

Bagaimanapun, enam daripada mereka maut dirempuh kenderaan ketika cuba melintas di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Jawi, Pulau Pinang.

Hamzah pada minggu lalu mengesahkan masih terdapat 60 pelarian etnik Rohingya yang lolos dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Relau di Sungai Bakap belum berjaya ditahan setakat ini.

Mengulas mengenai operasi di pasar itu, Hamzah menyatakan seramai 704 orang diperiksa dengan 637 ada pemegang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Edaran yang diambil dan dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia pada 20 April 2022 menunjukkan pelarian Rohingya, yang melarikan diri dari depoh sementara Imigresen Malaysia Sungai Bakap, ditahan di tepi lebuh raya di Pulau Pinang. - Foto PDRM

"Seramai 51 orang lagi tidak mempunyai dokumen atau pendatang tanpa izin (PATI)," katanya.

Katanya, Jabatan Imigresen turut mengesan dokumen UNHCR disalah guna dan diberikan kepada warga negara asing yang tidak layak.

"Kita mengesan beberapa warga dari negara jiran yang tidak sepatutnya menerima dokumen UNHCR mempunyai kad berkenaan," katanya.

Sebahagian daripada 119 Pati etnik Rohingya yang disembunyikan di bahagian ruangan petak ikan di bawah lantai bot nelayan tempatan untuk menyeludup masuk ke negara ini dan ditahan di perairan Sungai Kedah oleh APMM Maritim Kuala Kedah. - Foto ihsan PDRM

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) menghadiri Operasi Penguatkuasaan Imigresen terhadap warga asing di sekitar Pasar Besar Meru hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) menghadiri Operasi Penguatkuasaan Imigresen terhadap warga asing di sekitar Pasar Besar Meru hari ini.
Berita Harian X