Jumaat, 27 Mei 2022 | 10:43pm
Antara ahli SMAHI yang hadir memeriahkan majlis yang julung kali diadakan di Malakat Mall hari ini, sejak kumpulan sembang di Facebook itu diwujudkan pada April 2020 ketika tempoh PKP berkuat kuasa. - Foto ihsan Derick The Camper di SMAHI
Antara ahli SMAHI yang hadir memeriahkan majlis yang julung kali diadakan di Malakat Mall hari ini, sejak kumpulan sembang di Facebook itu diwujudkan pada April 2020 ketika tempoh PKP berkuat kuasa. - Foto ihsan Derick The Camper di SMAHI

1,000 suami minat memasak berhimpun di Cyberjaya

CYBERJAYA: Siapa sangka kumpulan sembang di Facebook yang diwujudkan secara suka-suka ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjaya mengumpulkan kira-kira 1,000 ahli dalam satu majlis hari raya hari ini.

Kumpulan sembang dikenali 'SMAHI' atau 'Suami Masak Apa Hari Ini?' menghimpunkan golongan lelaki daripada pelbagai latar belakang dengan satu persamaan iaitu berkaitan hobi dan minat memasak, termasuk yang mempunyai pengaruh politik di negara ini.

Antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, yang pernah beberapa kali memuat naik status berkaitan masakannya di ruangan kumpulan berkenaan.

Beliau yang turut menghadiri perjumpaan berlangsung di Malakat Mall, di sini, hari ini berkata, walaupun jadual tugasannya sebagai menteri agak padat, ia bukan penghalang kepadanya untuk bersua buat kali pertama dengan ahli kumpulan berkenaan.

"Syukur saya sempat bersama kumpulan SMAHI ini kerana sebelum ini, kami hanya bertemu di alam maya sahaja.

"Gembira dapat bertemu rakan daripada pelbagai bangsa dan agama kerana SMAHI tidak terhad kepada Islam sahaja dan ini menggambarkan warga Malaysia yang sejahtera.

"Ia menunjukkan plaform (kumpulan Facebook) ini digunakan sebaiknya, satu Keluarga Malaysia yang sejahtera. Diharapkan dengan majlis ini, ia akan memberi impak yang baik kepada ahlinya dan masyarakat sekitar," katanya ketika ditemui pada majlis terbabit.

Ditanya mengenai masakan sering dikongsinya melalui platform SMAHI, Idris berkata beliau tidaklah pandai memasak dan hanya melakukan perkara itu ketika masa lapang.

"Saya tidak pandai memasak, cuma adalah 'cuit-cuit' sikit kalau ada kelapangan dan sementara menunggu masakan sebenar (utama) siap dimasak isteri. Tapi, isteri saya memang pandai masak, itu tidak dinafikan.

"Bila dah jadi menteri ini, mana sempat nak memasak dah, nak makan bersama isteri pun tidak sempat," katanya.

Idris (dua dari kiri) yang juga ahli kumpulan sembang SMAHI mencuba menu disediakan ketika hadir memeriahkan majlis SMAHI Raya 2022 di Malakat Mall hari ini. - Foto ihsan Facebook Idris Ahmad
Idris (dua dari kiri) yang juga ahli kumpulan sembang SMAHI mencuba menu disediakan ketika hadir memeriahkan majlis SMAHI Raya 2022 di Malakat Mall hari ini. - Foto ihsan Facebook Idris Ahmad

Kira-kira 1,000 ahli SMAHI hadir memeriahkan majlis yang julung kali diadakan di Malakat Mall hari ini. - Foto ihsan Derick The Camper di SMAHI
Kira-kira 1,000 ahli SMAHI hadir memeriahkan majlis yang julung kali diadakan di Malakat Mall hari ini. - Foto ihsan Derick The Camper di SMAHI

Majlis diadakan secara 'potluck' itu dianjurkan dengan kerjasama Malakat Mall dan ia pertemuan pertama ahli kumpulan itu sejak penubuhannya pada April 2020.

Pengasas SMAHI, Mohd Salleh Ab Hamid yang lebih dikenali sebagai Rodk Dupe berkata, penganjuran SMAHI Raya 2022 bertujuan mengumpulkan ahli kumpulan berkenaan secara bersua muka bagi merapatkan lagi hubungan silaturahim.

Katanya, menerusi majlis itu, ia dapat mempertemukan ahli kumpulan yang selama ini berinteraksi secara maya di Facebook.

"Diharapkan melalui pertemuan ini, kami dapat merapatkan pertalian antara ahli dan kita juga melihat peluang untuk mengadakan lebih banyak program selepas ini," katanya.

Berita Harian X