Jumaat, 27 Mei 2022 | 8:21pm
Md Amin (dua dari kiri) bertukar dokumen MoA dengan Masnizam ketika majlis menandatangani perjanjian persefahaman itu di UPSI di sini.
Md Amin (dua dari kiri) bertukar dokumen MoA dengan Masnizam ketika majlis menandatangani perjanjian persefahaman itu di UPSI di sini.

Tawaran diskaun ketika berbelanja buat 90,000 Alumni UPSI

TANJUNG MALIM: Kira-kira 90,000 Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini berpeluang menikmati diskaun sebanyak 10 peratus terhadap semua pembelian yang dibuat secara dalam talian menerusi sesawang, SchoolMall, apabila mengimbas Kod QR yang disediakan kepada mereka.

Tawaran diskaun itu dinikmati mereka, susulan perjanjian persefahaman (MoA) dimeterai oleh Pusat Alumni UPSI dengan syarikat tekstil tempatan My-Sutera Sdn Bhd, untuk berkongsi kepakaran aspek pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan kepakaran dalam bidang pengurusan dan peruncitan.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, menyifatkan UPSI bertuah dapat mengadakan kerjasama strategik dengan MySutera yang juga pelopor dalam pembuatan baju sekolah jenama Canggih, yang berkualiti tinggi sejak era tahun 1980-an.

"Pelaksanaan program di antara UPSI dan My-Sutera ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 90,000 alumni dengan faedah pengurusan 10 peratus yang akan dinikmati mereka apabila membuat pembelian secara dalam talian menerusi sesawang SchoolMall.

"Selain tawaran diskaun, hasil jualan tersebut akan dikongsikan kepada Tabung Alumni Care UPSI, sekaligus memberi penjanaan kepada Pusat Alumni UPSI untuk menjalankan kegiatan berkaitan aktiviti bersama bekas pelajar pusat pengajian ini," katanya selepas majlis menandatangani MoA di Kampus Sultan Abdul Jalil di sini.

Turut hadir, Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr Siti Hartini Azmi.

Md Amin berkata, Pusat Alumni UPSI amat mengalu-alukan kerjasama dengan syarikat korporat bagi melestarikan hubungan luar dengan universiti untuk menyalur kepakaran dua hala antara industri, pelajar dan para alumni.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan My-Sutera, Masnizam Hisham, berkata syarikatnya bertekad berkongsi kepada pelajar menerusi pengalaman yang mereka miliki dalam industri tekstil.

Masnizam juga menjelaskan My-Sutera beriltizam mengembangkan Program Perintis Pelajar serta mempelawa para alumni yang terdiri daripada 50,000 guru sekolah untuk menjana pendapatan sampingan menerusi galakan jualan sambilan.

Pada majlis itu, Pusat Alumni UPSI turut menerima sumbangan sebanyak RM2,475.25 daripada My-Sutera hasil jualan fasa pertama menerusi imbasan kod QR yang dibuat orang ramai menerusi laman sesawang, SchoolMall.

Orang ramai yang berminat untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai kemudahan itu boleh menghubungi Pegawai Pusat Alumni, Muhammad Zafir Mohd Saman, menerusi talian 013-789 9337.

Berita Harian X