Jumaat, 27 Mei 2022 | 6:14pm
Muhyiddin melancarkan Aku Janji GRS di Kota Kinabalu pada 16 September 2020 ketika PRN Sabah. - Foto fail NSTP
Muhyiddin melancarkan Aku Janji GRS di Kota Kinabalu pada 16 September 2020 ketika PRN Sabah. - Foto fail NSTP

GRS dilancar secara rasmi esok

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang didaftarkan secara rasmi sebagai entiti politik baharu di Sabah pada Mac lalu akan dilancarkan Ketua Menteri yang juga pengerusinya Datuk Hajiji Noor, esok.

Pelancaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) jam 10 pagi dijangka dihadiri semua pemimpin utama lima parti dalam gabungan itu.

Ketika ini GRS dianggotai BERSATU Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu yang baru diumum menyertai gabungan itu pada awal bulan ini.

Berdasarkan aturcara pelancaran yang dikongsi kepada media, selain ucapan pelancaran oleh Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, empat presiden parti dalam gabungan itu turut dijadual memberikan ucapan masing-masing.

GRS muncul kali pertama ketika Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) pada September 2020 sebagai gabungan kerjasama pelbagai parti menentang kerajaan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan sekutunya atau WARISAN Plus pada masa itu.

Nama itu diumumkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mewakili kerjasama di antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu BERSATU, STAR dan SAPP, diikuti Barisan Nasional (BN) yang merangkumi UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta PBS.

Gabungan itu kemudian berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memperolehi majoriti mudah pada PRN-16 menewaskan WARISAN Plus.

Bagaimanapun, BN tidak menyertai gabungan itu apabila ia dijadikan entiti politik rasmi bermula pada Mac lalu, sebaliknya hanya menjadi rakan yang membentuk kerajaan negeri yang kini dinamakan kerajaan GRS-BN.

Berita Harian X