Jumaat, 27 Mei 2022 | 2:57pm
Datuk Zuraida Kamaruddin
Datuk Zuraida Kamaruddin

Keputusan permohonan Zuraida sertai PBM diumum selepas 7 Jun

KUALA LUMPUR: Keputusan rasmi berhubung permohonan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan diumumkan oleh presiden parti itu, Larry Sng, setelah beliau kembali dari luar negara.

Sng dalam kenyataan hari ini memaklumkan beliau akan berlepas ke luar negara hari ini dan dijangka pulang ke tanah air pada 7 Jun nanti.

"Saya baru dimaklumkan mengenai pengumuman Yang Berhormat Datuk Zuraida Kamaruddin yang berhasrat menyertai PBM.

"Kami akan membuat pengumuman rasmi mengenai keputusan kemasukannya apabila saya balik dari luar negara," katanya.

Beliau berkata pimpinan pusat parti akan membincangkan permohonan itu kerana ia adalah sebahagian daripada proses yang wajar dalam permohonan keahlian.

"Saya ingin mengulangi bahawa PBM mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berkongsi perjuangan parti," katanya.

Semalam, Zuraida yang sebelum ini ahli BERSATU mengumumkan menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti berkenaan dan meletakkan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. – BERNAMA

Berita Harian X