Jumaat, 27 Mei 2022 | 10:07am
Tengku Nasaruddin pada sidang media selepas Majlis Sembang Santai bersama EAIC. - NSTP/Hazira Ahmad Zaid
Tengku Nasaruddin pada sidang media selepas Majlis Sembang Santai bersama EAIC. - NSTP/Hazira Ahmad Zaid

Perjelas fungsi EAIC kepada masyarakat

KOTA BHARU: Kelantan mencatat aduan paling rendah diterima Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tahun ini.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat EAIC, Tengku Nasaruddin Tengku Mohamed, berkata justeru melalui Kempen E.R.A.T, pihaknya memilih Kelantan sebagai negeri yang pertama bagi memastikan masyarakat di negeri berkenaan lebih mengenali dan memahami fungsi serta peranan EAIC.

Katanya, pihaknya berharap dengan kempen yang diadakan selama empat hari bermula semalam sehingga 29 Mei ini akan dapat memupuk kesedaran masyarakat di Kelantan mengenai saluran yang boleh mereka gunakan untuk menyalurkan sebarang isu salah laku dalam kalangan penguat kuasa dan juga agensi penguatkuasaan.

"Sebelum ini masyarakat masih kurang jelas mengenai fungsi dan peranan EAIC, namun selepas penerangan diberikan kepada penghulu serta penggawa, pihak kami mendapati mereka mulai faham bahawa terdapat saluran rasmi sekiranya ada sebarang masalah yang membabitkan salah laku agensi penguatkuasaan.

"EAIC adalah badan berkanun Persekutuan yang ditubuhkan melalui Akta Parlimen yang bertanggungjawab memantau dan menjalankan siasatan terhadap aduan orang ramai mengenai salah laku penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).

"Di bawah EAIC terdapat 21 agensi yang dikawal selia dan antaranya termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sembang Santai bersama EAIC di Hotel Grand Renai, di sini, semalam.

Tengku Nasaruddin berkata, terdapat pelbagai aduan yang diterima pihaknya, namun kebanyakannya lebih kepada tindakan penguat kuasa yang tidak wajar seperti kelewatan mengambil tindakan dan ketiadaan tindakan oleh mana-mana agensi penguatkuasaan.

"Sebagai contoh, jika seseorang itu membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti PDRM, kemudian laporan yang dibuat itu tidak diambil tindakan yang sewajarnya, jadi apa yang masyarakat boleh lakukan apabila aduan itu tidak diambil tindakan, mereka boleh menyalurkan aduan itu kepada EAIC supaya pihak kami boleh menyiasat apakah punca aduan itu tidak diambil tindakan," katanya.

Katanya, EAIC mempunyai pelbagai saluran untuk membuat aduan di mana individu boleh menghubungi EAIC secara terus, menghantar e-mel dan yang terbaru adalah melalui saluran e-aduan dan dalam usaha ini pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Penerangan untuk menyebarluaskannya.

"Pada masa sama, pihak kami juga aktif memantau perkembangan isu semasa di media sosial bagi mengenal pasti aduan daripada orang awam dan pihaknya akan meneliti butiran maklumat disalurkan daripada situ sama ada sahih untuk diterima sebagai aduan.

"Mungkin masyarakat lebih mudah untuk membuat aduan menerusi media sosial namun pada masa sama, pihak kami

perlu mendapatkan maklumat lengkap pengadu serta aduan yang dibuat untuk memudahkan kami memulakan siasatan sama ada aduan yang dibuat itu betul atau sebaliknya.

"Sebarang aduan yang diterima oleh EAIC meskipun tidak berkaitan dengan bidang kuasa EAIC tidak akan ditolak, sebaliknya pihak kami akan menyalurkannya kepada pihak berkuasa berkenaan untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X