Khamis, 26 Mei 2022 | 10:09pm
Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin meletak jawatan sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi hari ini. - Foto fail NSTP
Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin meletak jawatan sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi hari ini. - Foto fail NSTP

BERSATU akan kemuka nama pengganti Zuraida

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mengemukakan satu nama baharu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai anggota Kabinet berikutan ia adalah kuota parti itu.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata nama calon untuk dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi bagi menggantikan Datuk Zuraida Kamaruddin yang meletak jawatan hari ini.

"Kita akan mengemukakan satu nama baharu kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai anggota Kabinet memandangkan kedudukan Zuraida sebagai Menteri adalah atas kuota BERSATU.

"Memandangkan beliau sudah membuat pengumuman menyertai PBM melalui satu kenyataan akhbar hari ini, keahliannya dalam BERSATU gugur serta-merta mengikut Fasal 10 Perlembagaan BERSATU," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Hari ini, Zuraida mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri Kabinet sambil menyatakan keputusan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, keputusan menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti baharu berkenaan.

Muhyiddin berkata, sebelum ini terdapat laporan mengatakan Zuraida terbabit secara langsung dalam penubuhan PBM dan mengambil bahagian dalam aktiviti parti berkenaan.

"Kedudukan Zuraida sebagai ahli BERSATU sudah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti baru-baru ini," katanya.

Susulan itu katanya, satu surat tunjuk sebab bertarikh 9 Mei lalu dihantar kepada Ahli Parlimen Ampang itu dan beliau sudah menjawab surat tunjuk sebab berkenaan menerusi sepucuk surat bertarikh 23 Mei.

"Langkah seterusnya ialah untuk merujuk kes beliau ke Lembaga Disiplin parti," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengucapkan terima kasih di atas segala sumbangan beliau kepada BERSATU.

Berita Harian X