Khamis, 26 Mei 2022 | 8:44pm
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengetuai delegasi Malaysia ketika berucap pada Persidangan Kesihatan Sedunia Sesi Ke-75 (WHA75) dan Mesyuarat Lembaga Eksekutif Sesi Ke-151 (EB151), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermula 22 hingga 30 Mei di Geneva, Switzerland.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengetuai delegasi Malaysia ketika berucap pada Persidangan Kesihatan Sedunia Sesi Ke-75 (WHA75) dan Mesyuarat Lembaga Eksekutif Sesi Ke-151 (EB151), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermula 22 hingga 30 Mei di Geneva, Switzerland.

Malaysia tingkatkan sumbangan kepada WHO menjelang 2029

KUALA LUMPUR: Malaysia bersetuju meningkatkan sumbangan negara sebanyak 40 peratus kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelang 2029.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata WHO penting dalam memberi nasihat normatif kepada dunia berkaitan dengan isu kesihatan awam dan kecemasan kesihatan.

Katanya, bagaimanapun kedudukan kewangan WHO tidak mampan untuk menampung semua aktiviti dalam usaha menjayakan visi kesihatan untuk semua.

"Oleh itu, Malaysia bersetuju dan sebelum kelulusan resolusi, jemaah menteri juga bersetuju lebih awal untuk meningkatkan sumbangan kepada WHO.

"Sebelum ini sumbangan negara adalah sebanyak 20 peratus untuk bajet asas, tetapi kita tingkatkan lebih awal dari negara lain.

"Ini menunjukkan kita sebagai ahli yang bertanggungjawab dan menyokong kepada usaha kerja yang dilakukan oleh WHO," katanya dalam sidang media yang berlangsung secara maya dari Geneva, Switzerland, hari ini.

Sementara itu, sebanyak lapan intervensi atau kenyataan negara sudah disampaikan Malaysia pada Perhimpunan Kesihatan Dunia ke-75 yang berlangsung di Geneva, Switzerland.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan penting untuk memastikan Rantau Pasifik Barat menjadi contoh adil dan saksama dalam setiap program yang dijalankan oleh WHO.

"Contohnya ketika pandemik lalu, isu kesaksamaan dalam pengagihan vaksin tidak berlaku.

"Sekiranya dunia berjaya menubuhkan satu rangkaian pembuatan vaksin yang adil dan saksama, apabila pandemik berlaku pada masa hadapan, kita tidak akan melihat keadaan yang teruk seperti dua tahun lalu.

"Kesaksamaan dan keadilan vaksin akan lebih baik.

"Malah, ketika memenuhi jemputan khas Presiden Forum Ekonomi Dunia (WEF), Borge Brende bagi menghadiri forum itu di Davos, Switzerland dua hari lalu, saya juga adakan pertemuan dengan syarikat farmaseutikal supaya mereka meningkatkan pelaburan dalam bidang penyelidikan klinikal kerana ia memberi kesan pulangan yang tinggi," katanya.

Berita Harian X