Khamis, 26 Mei 2022 | 8:29pm
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. - BERNAMA
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. - BERNAMA

Pemimpin BERSATU ganti portfolio Zuraida - Hamzah Zainuddin

PUTRAJAYA: Portfolio Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan digantikan pemimpin daripada BERSATU selepas Datuk Zuraida Kamaruddin keluar daripada parti itu secara rasmi.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ini kerana jumlah menteri Kabinet daripada parti itu sudah pun dipersetujui sebelum ini oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Bermakna jika Zuraida digugurkan daripada BERSATU, maka tempatnya itu akan digantikan oleh seseorang dari BERSATU.

"Ia seperti yang dicadangkan presiden parti untuk menjadi menteri yang mewakili BERSATU," katanya ketika ditemui pada Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Imigresen Malaysia 2022 di Ibu Pejabat Imigresen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Zuraida yang mengumumkan keputusannya meletakkan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, hari ini.

Selain itu, AHli Parlimen Ampang itu juga mengumumkan penyertaannya sebagai ahli Parti Bangsa Malaysia (PBM), sekali gus keluar meninggalkan BERSATU.

Ditanya sama ada BERSATU akan terkesan dengan kehilangan Zuraida, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ia tidak berlaku kerana Zuraida sendiri sudah tidak aktif dan hanya menggunakan BERSATU untuk kepentingan dirinya.

"Mesyuarat Agung dan MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi) juga beliau tidak hadir. Saya berpendapat, beliau telah menunjukkan sikap sebenarnya.

Beliau tidak hadir beberapa mesyuarat parti, iaitu lebih daripada enam mesyuarat," katanya.

Dalam pada itu, Hamzah turut mengesahkan jawatan Zuraida sebagai ahli MPT BERSATU tergugur serta-merta selepas beliau mengumumkan menyertai PBM hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata Presiden Bersatu pada dua minggu lalu sudah bersetuju untuk untuk menggantikan jawatan Zuraida sebagai MPT BERSATU dengan individu lain.

"Ini berikutan satu surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada Zuraida pada 9 Mei untuk beliau menjawab beberapa soalan berhubung penglibatannya dengan aktiviti yang dianjurkan oleh PBM.

"Namun, pada 23 Mei menerusi satu surat balas daripada Zuraida, beliau menolak pertuduhan bahawa beliau ahli PBM dan memohon pejabat Setiausaha Agung BERSATU menyertakan bukti atas tuduhan berkenaan. Tetapi segalanya terjawab hari ini," katanya.

Berita Harian X