Khamis, 26 Mei 2022 | 12:52pm
Isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam, ketika menyantuni Bella, ketika kanak-kanak istimewa itu dibawah melawat Legoland, Johor Bahru, baru-baru ini. FB HRH CROWN PRINCE OF JOHOR
Isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam, ketika menyantuni Bella, ketika kanak-kanak istimewa itu dibawah melawat Legoland, Johor Bahru, baru-baru ini. FB HRH CROWN PRINCE OF JOHOR

Peguam pemerhati mahu prosiding kes Bella dipercepatkan

SEREMBAN: Kumpulan peguam pemerhati kepada Bella, berharap agar keseluruhan proses dan prosiding perbicaraan kes terhadap remaja Sindrom Down itu dapat dipercepatkan demi menjaga kepentingan remaja terbabit.

Peguam, Baljit Singh Sidhu, berkata ini kerana kes remaja berkenaan menarik perhatian masyarakat.

"Kami bertemu dengan adik Bella secara fizikal dan melihat sendiri kesan kecederaan yang telah dialaminya, kami amat berharap agar keseluruhan prosiding perbicaraan kes terhadapnya dapat dipercepatkan," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian ketika ditemui di luar pusat jagaan kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lokasi Bella ditempatkan di sini, hari ini.

Turut hadir dalam lawatan itu adalah peguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Datuk Ikbal Salam.

Baljit Singh berkata, lawatan mereka bertujuan melihat Bella secara dekat sebagai tanggungjawab terhadapnya, selepas dilantik sebagai peguam pemerhati.

Katanya, ini adalah lawatan kali pertama oleh pihaknya dan hasil lawatan mendapati remaja berkenaan dalam keadaan baik serta bersemangat.

"Bella berada dalam keadaan baik dan dijaga dengan baik oleh pusat jagaan di bawah JKM Negeri Sembilan. Malah, kami dapati beliau dalam keadaan bersemangat," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, seramai empat peguam pemerhati yang dicadangkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pada 17 April lalu, Tunku Ismail menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati bagi kes penderaan remaja berkenaan.

Dalam pertemuan itu, Tunku Mahkota Johor mengemukakan tiga cadangan penambahbaikan bagi memastikan kes membabitkan Bella tidak berulang termasuk penambahbaikan undang-undang semasa seperti Akta Kanak-Kanak 2001 yang perlu dilakukan segera.

Kisah Bella didakwa didera dan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31, yang kini sedang dibicarakan mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia.

Berita Harian X