Rabu, 25 Mei 2022 | 7:29pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

MyGovernance dapat kembalikan keyakinan rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membangunkan Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) yang komprehensif dan holistik dalam mengembalikan keyakinan orang awam terhadap institusi kerajaan.

Pembangunan pelan itu selaras keputusan dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) Siri 15 dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Mei lalu.

Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Jabatan Perdana Menteri, dalam kenyataan hari ini berkata MyGovernance akan menginstitusikan prinsip dan amalan tadbir urus yang terbaik di semua agensi kerajaan.

"Ini termasuk badan berkanun kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mempertingkat dan memperkukuh keupayaan penyampaian perkhidmatan awam ke arah mencapai visi nasional.

"Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang diperkenal pada 2019 sudah menggariskan inisiatif governans, integriti dan anti-rasuah secara komprehensif dan ianya akan terus dilaksanakan walaupun wujudnya MyGovernance kelak," katanya.

Menurut kenyataan itu, pembangunan MyGovernance akan menjadi pelengkap NACP dan memastikan kesinambungan komitmen kerajaan berhubung governans, integriti dan anti rasuah melalui inisiatif-inisiatif baharu yang bakal disediakan.

"MyGovernance akan dibangunkan dengan memberi fokus kepada usaha mempertingkat tadbir urus baik merentasi seluruh aspek pentadbiran kerajaan secara berterusan melalui suatu dasar dan panduan yang jelas kepada semua agensi kerajaan.

"Ia dibangunkan berteraskan empat prinsip tadbir urus baik iaitu ketelusan, akauntabiliti, kecekapan, dan keberkesanan," katanya.

MyGovernance juga katanya, bakal menjadi sebuah pelan dasar dan tindakan bersepadu di peringkat nasional.

"Perkara itu sejajar dengan salah satu strategi utama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) ke arah memperkukuh penyampaian perkhidmatan sektor awam melalui peningkatan ekosistem tadbir urus baik.

"MyGovernance dapat membantu agensi kerajaan mengatasi isu kelemahan tadbir urus, integriti, ketirisan, ketidakcekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam, isu ketelusan dan karenah birokrasi dalam pentadbiran kerajaan dengan mengambil kira cabaran sedia ada dan masa hadapan.

"Antara inisiatif bakal diperkenalkan kelak adalah memastikan penggunaan sumber secara cekap dan berkesan serta memantapkan integriti, nilai dan etika organisasi untuk menghasilkan budaya kerja yang cemerlang," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, komitmen kerajaan membangunkan MyGovernance dan terus melaksanakan pelbagai inisiatif dibawah NACP dijangka berupaya mengembalikan keyakinan orang awam serta masyarakat antarabangsa terhadap institusi kerajaan.

"Ini sekali gus meletakkan Malaysia kekal berdaya saing di persada antarabangsa," katanya.

Berita Harian X