Rabu, 25 Mei 2022 | 8:39am
Hajiji menyampaikan buku mengenai Gunung Kinabalu kepada Rochas pada pertemuan di Sri Gaya, semalam. - Foto ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah
Hajiji menyampaikan buku mengenai Gunung Kinabalu kepada Rochas pada pertemuan di Sri Gaya, semalam. - Foto ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah

Duta Besar EU diminta perbetul tanggapan terhadap minyak sawit

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah meminta Duta Besar Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Michalis Rochas, membetulkan tanggapan tidak tepat dalam kalangan negara rantau itu mengenai industri minyak sawit Malaysia.

Perkara itu disuarakan Datuk Seri Hajiji Noor pada pertemuan dengan Rochas bersama delegasinya di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya, di sini, semalam.

Hajiji berkata, Rochas sudah melihat sendiri pendekatan mapan dan terbaik yang diamalkan sektor perladangan kelapa sawit negara ini, khususnya di Sabah, dalam menghasilkan minyak sawit.

Beliau menjelaskan kepada Rochas bahawa Sabah sudah lama mengamalkan pendekatan mapan dalam penanaman kelapa sawit, bertentangan dengan tanggapan EU yang melobi antiminyak sawit menerusi penyebaran meluas berita negatif dikaitkan dengan kemusnahan hutan dan alam sekitar.

Justeru, Hajiji mengalu-alukan komitmen Rochas untuk membetulkan persepsi negatif itu, sekali gus mengetengahkan keutamaan pembangunan Sabah dalam bidang pertanian, industri dan pelancongan, selain sektor tenaga kepada EU.

"EU adalah rakan perdagangan yang penting. Kita mahu melihat lebih banyak pelaburan dan peningkatan perdagangan dengan EU. Ketika ini, Sabah merekodkan perdagangan berjumlah RM4.2 bilion dengan EU, iaitu RM3.3 bilion eksport dan RM800 juta import," katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga berminat menjalin kerjasama lebih baik dengan EU bagi menangani isu alam sekitar, dan mengalu-alukan tawaran blok itu untuk menyediakan sokongan serta kepakaran dalam bidang berkenaan.

Beliau memaklumkan, Sabah berjaya memenuhi komitmen mengekalkan 50 peratus kawasan hutan, dan memastikan 52 peratus hutan simpan kekal, taman serta kawasan pemeliharaan hidupan liar tidak diusik.

Sementara itu, Rochas bersetuju bahawa berlaku salah tanggapan dalam kalangan negara EU yang perlu diperbetulkan mengenai perladangan kelapa sawit.

Sepanjang berada di Sabah, Rochas antara lain turut melawat ladang kelapa sawit milik anak syarikat kerajaan negeri, Sawit Kinabalu, dan melihat sendiri aktiviti pemeliharaan alam sekitar yang dilaksanakan Kerajaan Sabah.

"Saya sudah melihatnya sendiri dan ia memang wajar dipuji. Saya sangat teruja melihat orangutan bersama anaknya walaupun dari jauh. Kajian juga menunjukkan banyak sarang orangutan ditemui atas pokok, yang menunjukkan hidupan liar itu berada dalam keadaan baik.

"Namun, EU belum tahu mengenai perkara ini. Kita perlu pulang dan memberi gambaran betul mengenai situasi di Sabah. Saya akan menyampaikan perkara ini kepada Brussels (ibu pejabat EU).

"Saya mahu memperbetul dan mengukuhkan pandangan berkaitan industri kelapa sawit di Malaysia. Hutan anda adalah satu aset dan warisan dunia, justeru kita mengambil berat mengenainya," katanya.

Rochas turut menawarkan bantuan untuk pemeliharaan biodiversiti dengan dana EU kepada kerajaan negeri, selain memperbaiki kerjasama antara blok itu dengan Sabah melalui sokongan teknikal dan kepakaran.

"Malaysia adalah negara yang penting kepada EU. Kira-kira 40 peratus perdagangan EU berada di negara ini dan ada banyak lagi yang boleh diterokai di Sabah," katanya.

Berita Harian X